Sebahagian doktor yang menyertai protes di Seoul. - FOTO AFP
Sebahagian doktor yang menyertai protes di Seoul. - FOTO AFP
BERNAMA-YONHAP

Seoul: Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol berkata, rancangan kerajaan untuk menaikkan kuota pendaftaran sekolah perubatan sebanyak 2,000 adalah "langkah minimum yang diperlukan" bertujuan untuk menangani kekurangan doktor tanpa ruang untuk rundingan atau kompromi.

"Sekiranya rakyat tidak dapat menerima rawatan tepat pada masanya dan sewajarnya ketika sakit, kerajaan tidak akan menunaikan kewajipan perlembagaannya. Menambah kuota sekolah perubatan sebanyak 2,000 adalah langkah minimum yang diperlukan untuk memenuhi tugas perlembagaan negara.

"Negara kita pada masa ini menghadapi kekurangan doktor yang ketara, dan tidak lama lagi keadaan akan menjadi lebih serius," agensi berita Yonhap memetik Yoon sebagai berkata semasa mesyuarat mengenai kerjasama antara kerajaan pusat dan tempatan, yang diadakan di pekarangan kediaman bekas presiden Cheong Wa Dae.

Doktor pelatih yang memprotes rancangan itu mengadakan demonstrasi untuk hari kelapan pada Selasa, dengan kira-kira 9,000 doktor residen dan pelatih meninggalkan tempat kerja mereka setakat Isnin, menurut kerajaan.

Kekurangan itu menyebabkan pesakit berebut-rebut mencari hospital yang ada. Seorang wanita berusia 80-an dilaporkan meninggal dunia selepas menunggu hampir sejam kerana tiada bilik kecemasan boleh menerimanya.

Yoon berkata, dasar pembaharuan perubatan sedang diteliti di mana terdapat desakan untuk melaksanakannya segera.

Ia adalah peluang terakhir untuk menyelamatkan rakyat dan wilayah tempatan, merujuk kepada hujah kerajaan bahawa lebih ramai doktor diperlukan untuk bekerja dalam bidang perubatan penting, seperti pembedahan berisiko tinggi, pediatrik, obstetrik dan perubatan kecemasan, serta di kawasan luar bandar.

"Ini tidak boleh dan tidak sepatutnya menjadi subjek untuk rundingan atau kompromi. Melakukan tindakan kolektif dengan menjadikan kesihatan dan nyawa rakyat sebagai tebusan serta mengancam nyawa dan keselamatan rakyat adalah sukar untuk dibenarkan dengan sebarang alasan.

"Walaupun kami menaikkan kuota sekolah perubatan sekarang, bilangan doktor hanya akan mula meningkat 10 tahun kemudian. Sampai bila dan bagaimana anda mahu kami menangguhkan ini?" kata Yoon.

Kumpulan doktor telah membantah rancangan itu, mengatakan peningkatan dalam kemasukan ke sekolah perubatan hanya akan menurunkan kualiti pendidikan tanpa menangani isu asas pampasan rendah dan risiko penyelewengan perubatan yang tinggi dalam bidang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 5:36 PM