Oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Itulah antara tiupan motivasi yang selalu dilaungkan khususnya apabila berhadapan dengan situasi sukar dalam sesuatu perjuangan sama ada dalam pertandingan tertentu atau usaha mendapatkan sesuatu yang terbaik.

Begitulah inspirasi yang kita dapat daripada sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW apabila berkorban jiwa dan raga setelah diperintahkan Allah SWT untuk meninggalkan Kota Makkah dan berhijrah ke Madinah.

Pengorbanan Rasulullah SAW bukanlah suatu perkara yang datang dengan senang atau tanpa implikasi dan risiko. Ia berlaku setelah sekian lama baginda bersama sahabat menghadapi pelbagai jenis penentangan daripada puak musyrikin di Makkah. Setelah melalui bermacam-macam bentuk penindasan dan penyeksaan, Rasulullah SAW berusaha mencari tempat yang mampu untuk memberikan sinar kepada Islam yang dibawanya.

Namun, percubaan membina peluang yang baharu di Habsyah dan Taif tidak berjaya. Bukan sahaja ditolak dan tidak mendapat sambutan, tetapi sehinggakan mendapat kecederaan lantaran penentangan dan penolakan daripada orang kafir.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka) kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya." (Surah al-Anfal, ayat 30)

Terbukti daripada sejarah yang dilalui oleh Rasulullah SAW bersama sahabat ini bahawa setiap cita-cita yang besar sudah pasti menuntut pengorbanan yang besar juga. Begitulah yang dihadapi oleh baginda dan sahabat. Bagi mempertahankan agama Islam sebagai risalah yang dibawa oleh baginda, setiap halangan mestilah direntasi dengan jaya.

Setelah menghadapi segala jenis penentangan dan penyeksaan yang dilakukan oleh kafir musyrikin kepada orang Islam di Makkah, maka sampai masa Rasulullah SAW diperintahkan untuk berhijrah meninggalkan Kota Makkah.

Menjadi cabaran yang sangat besar bagi seseorang apabila diuji dengan berpindah atau keluar daripada kampung halaman ke tempat lain. Inikan pula untuk meninggalkan kota suci yang diperakukan Allah SWT.

Maka, meninggalkan Makkah menjadi suatu ujian yang sangat besar yang perlu dihadapi oleh Nabi SAW dan sahabat.

Allah SWT berfirman tentang kemuliaan Kota Makkah yang bermaksud: "Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya di antaranya ialah) makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk." (Surah Ali-Imran, ayat 96-97)

Selepas beberapa kali rundingan dengan rombongan daripada Madinah, maka Rasulullah SAW bersetuju untuk berhijrah. Pengorbanan Rasulullah SAW ini disertai dengan keyakinan yang tinggi terhadap janji Allah SWT yang akan memberikan kemenangan kepada Islam. Oleh itu, sehebat mana pun ujian yang dihadapi tetap diharungi demi mentaati perintah Allah dan menyelamatkan risalah Islam yang dibawa. Perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT diteruskan di Kota Makkah sehingga Islam tersebar ke seluruh alam dan mencatatkan kegemilangan negara Islam Madinah dan kepemimpinan baginda Rasulullah SAW sebagai pemimpin terulung dunia sepanjang zaman.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) serta kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 40)

Begitulah besarnya pengorbanan yang dibuktikan oleh Rasulullah SAW bersama sahabat apabila berhijrah meninggalkan kota Makkah. Bahkan, semasa perjalanan hijrah iaitu ketika berada dalam Gua Thur selama tiga hari Abdullah bin Abu Bakar setiap hari datang untuk membawakan berita dan perkembangan yang berlaku di Makkah.

Begitu juga dengan Asma' binti Abu Bakar yang setiap hari merentas bukit-bukau untuk menghantar makanan kepada Rasulullah SAW yang bersama ayahandanya di dalam gua. Bukannya perjalanan yang mudah, namun direntasi jua demi membantu agar perintah Allah terlaksana dan Nabi Muhammad berjaya keluar dari Makkah dengan selamat. Kecekalan beliau sangat tinggi hinggakan sanggup untuk membuka ikat tali pinggangnya dan dibelah dua untuk mengikat makanan kerana ketiadaan tali. Sehinggalah beliau digelar 'zat al-nitaqain' yang bermaksud wanita yang mempunyai dua pengikat tali pinggangnya.

Setiap watak mempunyai sumbangan yang besar hingga tertegaknya negara Islam Madinah. Bermakna, setiap umat Islam mestilah bersedia untuk menghulurkan sumbangan dan sanggup untuk berkorban jiwa dan raga untuk memastikan bahawa Islam tetap dimartabatkan. Sesungguhnya perjuangan menegakkan Islam memerlukan pengorbanan tinggi.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 6:15 AM