REZEKI dan keberkatan adalah nikmat  di bulan Ramadan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
REZEKI dan keberkatan adalah nikmat di bulan Ramadan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Dr Aizan Ali@ Mat Zin

Kehidupan insan di dunia yang fana ini tidak dapat lari daripada kesusahan, kesulitan, masalah, ujian dan cabaran. Insan yang kuat akan berjaya menyahut cabaran menyelesaikan masalah mendepani kesulitan dengan mencipta solusi dan penyelesaian bagi manfaat diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah. Hidup sebagai insan yang bermanfaat dan penting dalam sesebuah entiti yang dihadirinya tidak kira kecil atau besar perlukan jiwa yang kental, semangat yang jitu, fizikal yang kuat dan mental yang sihat. Justeru, Allah telah menghadiahkan ibadat berpuasa sebulan di bulan Ramadan setiap tahun hijri sebagai imunisasi jiwa orang yang beriman dan bertaqwa.

Sejarah Islam ditulis dan membuktikan keberkesanan imunisasi Ramadan ke atas orang yang beriman dan bertakwa. Apabila kita menelusuri peristiwa perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah, kita akan bertanya beberapa soalan: bagaimana tentera Islam boleh berperang dan mencapai kemenangan dalam keadaan berpuasa? Adakah kita masyarakat Islam di Malaysia yang aman tenteram kaya dengan juadah makanan sudah merasa sukar dan 'seksa' berpuasa menahan lapar dan dahaga serta kelazatan bersyahwat dari terbit matahari hingga tenggelam di ufuk barat? Adakah kita akan jatuh sakit jika berpuasa atau sebaliknya? Tepuk dada tanya iman.

Peristiwa perang Badar adalah peperangan pertama dalam Islam setelah 13 tahun masyarakat Islam ditindas di Makkah yang memaksa Baginda SAW dan orang-orang Islam berpindah ke Yathrib. Perlu ditegaskan bahawa Islam adalah agama keamanan, keselamatan, persaudaraan dan menghormati agama yang lain. Bagaimanapun, Islam tidak membenarkan penindasan ke atas umat Islam atau sesiapa sahaja tidak kira bangsa dan kaum untuk kekal dizalimi tanpa pembelaan dan pengakhiran sebagaimana yang berlaku ke atas masyarakat Islam di Palestin dan Rohinya di Myanmar pada hari ini. Peperangan bukan atas dasar perkauman atau disebut asabiyah tetapi memerangi kezaliman. Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Bukan daripada kalangan kita orang yang mengajak kepada asabiyyah dan bukan daripada kalangan kita orang yang berperang kerana asabiyyah dan bukan daripada kita orang yang mati kerana asabiyyah." (Riwayat Abu Dawud No Hadis: 5121)

Fakta yang menarik dalam lembaran sejarah Islam apabila kita mendapati perang badar bukan satu-satunya perang yang berlaku pada bulan Ramadan dan mencapai kemenangan. Antara peperangan lain adalah perang Khandaq, pembukaan kota Makkah dan peperangan Tabuk yang juga peperangan terakhir yang dipimpin oleh baginda Rasulullah SAW. Deduktifnya, peristiwa perang Badar melambangkan kekuatan jiwa orang Muhajirin dan Ansar di Negara Madinah Al-Munawwarah yang diasaskan oleh Baginda Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Allah telah menolong kalian mencapai kemenangan dalam peperangan Badar sedang kalian berkeadaan lemah. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, mudah-mudahan kamu bersyukur." (Surah Ali-Imran: 123)

Kesukaran yang dihadapi oleh orang Muhajirin dan Ansar dalam memerangi kezaliman dan penindasan dalam keadaan berpuasa patut dijadikan inspirasi masyarakat Islam di Malaysia untuk kekal tabah melaksanakan ibadah puasa walau ribut melanda jiwa dan minda rakus berfikir menggoda iman agar tidak melaksanakannya secara istiqomah.

Bunga terbesar bernama refflesia,

Menjadi tarikan pelancong ke negeri Sabah,

Wahai masyarakat Madani dambaan Malaysia,

Amalkan hidup sihat insani dan kekal tabah.

Gagasan rejuvenasi masyarakat Malaysia Madani yang bertunjangkan kemampanan ekonomi, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan dapat dicapai apabila terbentuk individu dan agen pembangun diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah yang sihat mental, fizikal, emosi dan spiritual dengan imunisasi Ramadan setahun sekali. Selamat berpuasa masyarakat Islam Madani 1444H

Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) dan boleh dihubungi di [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 7:01 AM