PERBELANJAAN persekolahan memerlukan peruntukan yang besar.
PERBELANJAAN persekolahan memerlukan peruntukan yang besar.
Bersama Syarifah Dayana Syed Bakri

Beberapa hari lalu saya ke kedai pakaian untuk mencari keperluan sekolah. Buat pertama kalinya saya membeli pakaian seragam untuk anak lelaki kerana dua anak yang bersekolah sebelum ini adalah perempuan.

Saya sedikit terkejut kerana seragam sekolah untuk murid lelaki dijual berasingan bagi baju dan seluar. Bagi murid perempuan, baju kurung dijual pada harga sepasang, bukan berasingan untuk baju dan kain.

Melihat tanda harga, sekali lagi saya terkejut kerana baju saja mencecah hampir RM30 dan seluar RM25. Ini bermakna saya perlu membayar RM55 untuk sepasang seragam sekolah.

Menjeling ke bahagian kasut, semuanya berharga lebih RM35. Beg sekolah pula kebanyakannya berharga lebih RM40.

Kedai yang saya kunjungi bukan pusat beli-belah atau butik berjenama sebaliknya hanya kedai pakaian biasa. Jika butik berjenama, sudah tentu harganya jauh lebih mahal.

Untuk tiga anak bersekolah rendah, kami memperuntukkan sejumlah ringgit yang meliputi perbelanjaan keperluan sekolah dan yuran serta buku. Jumlah berkenaan sebenarnya melebihi perbelanjaan sebenar, namun adalah lebih baik menyediakan bajet sedikit tinggi bagi menghadapi sebarang perkara di luar jangka.

Untuk keluarga kecil kami di mana saya dan suami bekerja, menyediakan jumlah berkenaan masih boleh diatur lagi, dengan syarat ia dimulakan lebih awal.

Untuk mana-mana keluarga yang mempunyai sumber pendapatan tetap, berbelanja bagi persekolahan anak-anak bukan satu masalah.

Namun, bagaimana untuk keluarga yang serba kekurangan? Bagaimana keluarga yang bergantung kepada pendapatan si bapa saja? Bagaimana pula dengan keluarga yang hanya si ibu keluar mencari rezeki?

Membayar yuran dan buku saja sudah menyesakkan poket apatah lagi membeli pakaian seragam atau kasut dan beg baharu.

Jika ditinjau di ruangan komen media sosial, terdapat segelintir warganet yang mendesak kerajaan untuk membenarkan pengeluaran simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan alasan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Ini bermakna perbelanjaan persekolahan adalah satu peruntukan yang besar bagi sesebuah keluarga selain perbelanjaan menyambut hari raya. Semua yang bergelar ibu bapa pasti mahukan anak-anak memulakan sesi persekolahan dengan gembira sekurang-kurangnya dengan memastikan bayaran yuran dan buku dilunaskan.

Tidak ada ibu bapa yang mahu anak mereka keciciran pelajaran apatah lagi memberi mereka pilihan untuk menamatkan persekolahan hanya kerana tidak mampu menyediakan keperluan sekolah. Ini kerana jika anak-anak keciciran pelajaran, ia hanya akan menyebabkan keluarga berkenaan terus mengulangi kitaran sama sebagaimana ibu bapa mereka.

Keadaan seperti ini tidak hanya berlaku di Malaysia sebaliknya di seluruh dunia.

Menurut laporan SCMP, di Indonesia masalah biasa yang dikaitkan dengan anak-anak yang keciciran pelajaran adalah kemiskinan yang seterusnya membabitkan perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Kebangsaan bagi Perlindungan Kanak-Kanak, Retno Listyarti berkata, jika seorang kanak-kanak hidup dalam kemiskinan dan tidak ke sekolah, mereka tidak mempunyai apa-apa aktiviti untuk dilakukan di rumah.

Katanya, kebiasaannya kanak-kanak perempuan akan dikahwinkan manakala kanak-kanak lelaki akan mencuba nasib dalam sektor tidak formal seperti pembinaan.

Menurutnya, jika keadaan itu berterusan ia akan mewujudkan kitaran kemiskinan kerana ibu bapa yang hanya lulus dari sekolah rendah berkemungkinan mempunyai sumber yang terhad untuk membayar pendidikan tinggi untuk anak-anak mereka.

Bagaimanapun, keadaan seperti itu jarang dilaporkan berlaku di negara kita kerana banyak pihak prihatin dengan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diberikan kerajaan juga dilihat dapat meringankan beban ibu bapa. Walaupun jumlah berkenaan tidak dapat menampung keseluruhan perbelanjaan, namun sekurang-kurangnya ia mencukupi untuk membeli buku yang disenaraikan pihak sekolah.

Buat ibu bapa, percayalah Allah akan murahkan rezeki semua yang gigih melaksanakan tanggungjawab memberikan pendidikan kepada anak-anak.

Usah bersedih jika tidak dapat belikan beg baharu untuk anak-anak tahun ini. Insya-Allah ada rezeki lain pada tahun depan.

Apa lebih penting adalah iringi perjalanan mereka ke sekolah dengan doa kalian setiap hari.

   

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 7:00 AM