Omar Ahmad

Johor Bahru: "Anak sulung naik Tingkatan Satu tahun ini, anak bongsu pula masuk ke tadika, memang kena beli pakaian seragam sekolah baharu untuk mereka," kata ejen insuran, Radiah Saori, 41.

Radiah mula membuat persiapan awal membeli pakaian sekolah dan peralatan persekolahan anaknya, hari ini, selepas pengumuman Kementerian Pendidikan mengenai pembukaan semula sekolah secara bersemuka bermula 1 Mac ini.

Menurutnya, selain membeli persiapan sekolah untuk anak sulungnya, Puteri Nur Qistina Azizul Syazwan, 13, dan anak bongsu, Puteri Nur Qairina, 6, dia turut membelikan sepasang pakaian sekolah untuk anak keduanya, Puteri Nur Qirana, 11.

"Anak sulung saya baru naik Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Mohamed Rahmat di Kempas, anak bongsu pula masuk ke tadika di Larkin.

"Anak kedua saya hanya belikan sepasang baju sekolah sebab pakaian tahun lalu masih elok lagi sebelum sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19.

"Peralatan persekolahan lain juga sudah dibeli termasuk buku sekolah," katanya yang membuat persiapan di sebuah pasar raya berdekatan Kempas, di sini, hari ini.

IBU BAPA membuat persiapan awal membeli pakaian sekolah anak-anak di pasaraya di Kempas. FOTO Omar Ahmad
IBU BAPA membuat persiapan awal membeli pakaian sekolah anak-anak di pasaraya di Kempas. FOTO Omar Ahmad

Berbeza dengan suri rumah, Nor Azilah Kasim, 39, yang menjelaskan tiga anaknya hanya akan memakai pakaian sekolah tahun lalu.

Katanya, ia berikutan keadaan kekangan ekonomi dan kebimbangan sekolah akan ditutup semula sekiranya kes positif Covid-19 semakin meningkat.

"Pakaian seragam sekolah anak pun mahal juga. Saya ada tiga anak bersekolah, seorang di Tingkatan Empat SMK Taman Molek, lagi dua anak di Darjah Lima dan Dua di SK (Sekolah Kebangsaan) Taman Molek.

"Pakai apa yang ada sahaja. Kalau betul dah tak muat seperti kasut, saya akan beli sepasang dulu.

"Risau nanti dah beli banyak keperluan sekolah, tiba-tiba kes positif Covid-19 meningkat semula, sekolah terpaksa ditutup lagi. Kita bersederhana saja buat waktu ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 5:10 PM