Mohd Shahrizal Nasir

Setiap ibu bapa yang beragama Islam pastinya mengimpikan ada dalam kalangan anak mereka ada yang menghafal al-Quran.

Sememangnya satu impian mulia meskipun ibu bapa itu ada yang tidak mahir membaca al-Quran.

Al-Quran mengandungi pelbagai cabang ilmu duniawi dan ukhrawi. Ia kitab yang diturunkan kepada umat manusia yang mengandungi perintah dan panduan Ilahi.

Hal ini bukan takwilan ulama sebaliknya dijelaskan Allah SWT di dalam al-Quran menerusi firman-Nya bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad). Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah Sad, ayat 29)

Apa lagi yang ingin kita ragukan mengenai kelebihan orang yang membaca, memahami maksud ayat al-Quran serta menjaga al-Quran dalam hati mereka.

Orang yang mendekatkan dirinya kepada al-Quran akan dapat keistimewaan luar biasa seperti yang dijanjikan.

Usaha menghafal al-Quran bermakna seseorang individu itu lidahnya sentiasa dibasahi dengan Kalamullah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran, baginya satu kebaikan. Satu kebaikan akan digandakan sepuluh. Aku tidak mengatakan ‘alif lam mim’ itu satu huruf, akan tetapi, alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Cuba bayangkan kita dapat melihat anak sendiri memanfaatkan masa dalam kehidupannya membaca dan menghafal ayat al-Quran.

Tidak perlu lagi disuruh, mereka akan membaca al-Quran pada setiap masa kerana itu sudah menjadi tuntutan kerana usahanya yang sedang menghafal al-Quran.

Berapakah agaknya pahala kebaikan yang bakal diterima oleh dirinya?

Apa yang pasti, ibu bapa juga turut menerima saham kebaikan daripada usaha anak itu.

Persepsi negatif yang dilemparkan sesetengah pihak mengenai institusi tahfiz di negara ini perlu diperbetulkan.

Tidak dinafikan wujudnya pihak tidak bertanggungjawab menggunakan label maahad tahfiz atau sekolah tahfiz untuk mengaut habuan dunia seperti mengutip derma secara salah, namun hal itu tidak boleh dijadikan alasan untuk melemparkan persepsi negatif terhadap institusi tahfiz secara total.

Pihak kerajaan contohnya perlu melihat ruang penyaluran bantuan kepada sekolah tahfiz khususnya yang dibuka secara persendirian.

Golongan akademik pula boleh membantu pihak tahfiz memperkasakan sukatan pengajian bagi anak tahfiz supaya mereka tidak mengabaikan keperluan akademik semasa.

Alumni sekolah tahfiz yang berjaya dalam pelbagai bidang perlu kembali ke tempat mereka mengenali al-Quran untuk menyumbang tenaga, idea dan dana bagi membantu pihak institusi tahfiz.

Masyarakat juga memainkan peranan penting dalam usaha memperkasakan institusi tahfiz di negara ini.

Persepsi sekolah tahfiz tidak mampu melahirkan golongan profesional perlu dibuang jauh-jauh.

Anak yang berada di sekolah tahfiz bukan daripada kalangan insan yang tiada harapan masa depan dan ketinggalan pelajaran.

Mereka sebenarnya permata yang bakal membawa rahmat sekiranya usaha mereka dibantu dan disokong sepenuhnya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan ini sebuah Kitab (al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya dan bertakwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.” (Surah al-An’am, ayat 155)

Usaha pihak Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan silibus Tahfiz Ulul Albab perlu diberi pujian kerana menawarkan pakej pembelajaran berteraskan al-Quran.

Selain itu, inisiatif lain yang sedang dilaksanakan adalah Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT).

Kurikulum itu digubal bagi melahirkan generasi yang bukan saja mampu menghafal al-Quran, juga menguasai ilmu al-Quran serta ilmu akademik lain yang turut dipelajari rakan mereka di sekolah biasa.

Semua usaha itu dijangka dapat melahirkan generasi huffaz dalam kalangan golongan profesional dalam bidang masing-masing.

Malah, golongan itu juga mempunyai pengetahuan agama yang kuat melalui penghafalan al-Quran serta ilmu berkaitan al-Quran.

Itulah komitmen besar yang perlu diperkemas dan diperkasakan secara kolektif oleh semua pihak termasuk setiap individu Muslim.

Jangan ada lagi suara sumbang yang cuba merendahkan usaha pihak lain melahirkan golongan huffaz di negara ini.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW berkaitan al-Quran menerusi sabdanya yang bermaksud: “Sungguh dengan sebab kitab (al-Quran) ini, Allah akan mengangkat sekelompok kaum dan dengannya pula Dia akan merendahkan sekelompok kaum yang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 11:57 AM