GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Prof Ts Dr Rusli Abdullah

PENULARAN wabak Covid-19 menjadi cabaran utama sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa. Ia menjadi satu pandemik yang perlu diatasi dan dikawal oleh semua pihak.

Dengan kemunculan wabak ini, pelbagai inisiatif dikenalpasti dan dilaksanakan bagi menyekat penyebarannya yang mengakibatkan pergerakan kita terpaksa dikawal.

Terdapat pelbagai langkah drastik dan dinamik diperkenalkan oleh pihak bertanggungjawab khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengawal dan memantau penyebaran Covid-19 ini.

Inisiatif itu termasuklah memperkenalkan Tatacara Pengoperasian Piawaian (Standard Operating Procedure - SOP) membabitkan semua warga negara.

SOP ini perlu dipatuhi dan diikuti sebagai peraturan dan langkah berjaga-jaga atau dipanggil sebagai keadaan 'kita jaga kita'.

Di dalam konteks SOP itu, satu daripada keperluan kita ialah mengguna pakai aplikasi sistem pengurusan maklumat berkomputer yang dihubungkan melalui sistem rangkaian setempat dan global.

Aplikasi ini menggunakan peranti komputer mudah alih atau lebih popular dengan menggunakan capaian telefon pintar kepada pelayan komputer utama di KKM secara atas talian.

Sistem ini lebih dikenali sebagai MySejahtera yang dapat diguna pakai dengan menginstalasikannya di dalam peranti telefon pintar pengguna iaitu selepas memuat turun aplikasi melalui enjin pencarian biasa seperti Google Search, Play Store dan sebagainya.

Sebagai sistem aplikasi berkomputer, MySejahtera mempunyai pelbagai fungsi yang amat berkesan bagi membolehkan pengguna mengurus, memantau dan membantu di antara satu sama lain supaya dapat mematuhi SOP dan melaporkan sebarang tanda awalan membabitkan penyebaran Covid-19 ini kepada pihak bertanggungjawab.

Sebagai contoh, MySejahtera turut menyediakan perkhidmatan kepada pengguna untuk memberi maklumat kepada pihak berkepentingan mengenai status vaksinasi pengguna dan pelbagai aspek lain berkaitan dengannya.

Oleh itu, semua pihak dapat mengambil maklum dan memberikan perhatian yang tertentu supaya kekangan wabak virus ini dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Di dalam konteks pengoperasian dan pentadbiran sistem aplikasi MySejahtera ini, pengguna perlulah mendaftar sebagai pengguna biasa bagi mendapatkan kebenaran capaian melalui nama pengguna (username) dan kata laluan (password) yang tertentu.

Dengan itu, sistem ini akan mengawal dan menjamin kerahsiaan data peribadi pengguna serta selamat digunakan tanpa mengira di mana mereka berada malah boleh digunakan pada bila-bila masa saja atau dikenali sebagai 24/7 iaitu pada tahap penggunaan secara seharian berdasarkan kepada urusan dan waktu yang diinginkan.

Begitu juga dengan premis yang terbabit, mereka juga perlu mendaftar dengan MySejahtera bagi menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk mengimbas kod bar pada premis mereka bagi mendapatkan maklumat pengguna yang berkunjung.

Seterusnya kita dapat mengetahui jumlah pengunjung atau pelawat dan maklumat pengguna yang datang bagi sesuatu aktiviti berbentuk sosial atau perniagaan di samping mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sememangnya sebagai pengguna kepada MySejahtera, kita haruslah peka dan bertanggungjawab.

Kita perlulah memahami fungsi dan keperluan serta menghayati penggunaannya yang mana ia adalah sebagai alatan sokongan pembuatan keputusan yang diklasifikasikan sebagai sesuatu alatan sokongan yang tiada lagi pilihan untuk setiap warga negara menggunakannya pada masa kini.

Dengan itu, ia boleh membantu mengawal pergerakan kita bagi memulakan kerja di dalam konteks kehidupan atau pembudayaan norma baharu ini.

Ini termasuklah membuat daftar masuk pada premis di mana kita berada supaya kita dapat memantau pengesanan kontak di kala sesuatu wabak itu dikesan berlaku pada kawasan tertentu.

Seterusnya, membolehkan MySejahtera dapat digunakan untuk proses memantau pengguna yang dihinggapi dengan wabak ini supaya proses kuarantin dapat dilaksanakan dengan teratur dan bersistematik.

Selain daripada itu, MySJ Trace adalah salah satu fungsi baharu dalam sistem aplikasi MySejahtera untuk membantu KKM dalam usaha mengawal penularan wabak Covid-19.

Secara amnya, MySejahtera membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri dan membantu KKM mendapatkan maklumat awal untuk tindakan cepat dan berkesan.

Manakala, MySJ Trace menjadi pelengkap kepada sistem aplikasi MySejahtera untuk membuat pengesanan kontak dan mengenal pasti individu yang pernah ada kontak rapat dengan pengguna MySJ Trace yang disahkan positif Covid-19.

Mudah-mudahan proses penyebaran wabak ini dapat dikesan dan dikawal di samping melaporkan kepada semua pihak mengenai status 'hotspot' wabak yang membabitkan sesetengah tempat atau kawasan terkesan dengan jangkitan virus ini.

Sebagai kesimpulannya, dengan kepintaran sistem aplikasi MySejahtera ini, ia diharap dapat memanfaatkan segala teknologi terkini khususnya di dalam konteks revolusi teknologi perindustrian (Industrial Revolution) 4.0 yang merangkumi kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) dan Data Raya (Big Data) serta lain-lain lagi.

Di samping itu, sistem aplikasi ini juga diharap dapat dihubungkan dengan sistem lain terutamanya bagi melaporkan keadaan pengguna di premis tertentu supaya data yang diperolehi dapat dimanfaatkan untuk membuat ramalan atau pencegahan penyebaran wabak virus Covid-19 yang boleh menjadi lebih serius pada masa akan datang.

Penulis adalah Profesor di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 3:41 PM