Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Orang ramai tidak perlu lagi mengimbas kod QR MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat awam, mulai 1 Mei.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keperluan imbasan MySejahtera untuk kedua-dua tempat berkenaan sudah disemak dan diputuskan tidak wajib.

"Bagaimanapun, saya ingin menyeru supaya anda semua mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.

"Individu dengan status 'High Risk' pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif Covid-19 dan individu yang diberi arahan Perintah Perintah Pemantauan dan Pemerhatian (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis.

"Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premisnya," katanya dalam sidang media hari ini.

Mengulas lanjut Khairy berkata, aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan terutama bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan Covid-19 dan arahan HSO.

"Ia juga penting untuk membantu Kementerian Kesihatan KKM) dalam pencegahan dan kawalan Covid-19," katanya.

Menurutnya, kemasukan ke mana-mana premis juga dibenarkan tanpa mengambil kira status vaksinasi mereka.

"Individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis adalah mereka positif Covid-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap.

"Individu dalam tempoh HSO termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia," katanya.

Katanya, MySejahtera akan ditambah baik dengan ciri-ciri baharu untuk lihat kawasan titik panas penyakit lain seperti denggi, Rabbies dan campak.

Sementara itu katanya, keperluan penjarakan fizikal dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) terbitan 1 April 2022 juga disemak semula.

"Mengambil kira semua aktiviti dibenarkan dengan penggunaan 100 peratus kapasiti ruang, maka penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan tidak diperlukan.

"Namun, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka," katanya.

MySejahtera
MySejahtera

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 5:05 PM