PENGURUSAN aplikasi MySejahtera bakal diletakkan bawah Bahagian Kesihatan Awam Digital. FOTO BERNAMA
PENGURUSAN aplikasi MySejahtera bakal diletakkan bawah Bahagian Kesihatan Awam Digital. FOTO BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Pengurusan aplikasi MySejahtera bakal diletakkan bawah Bahagian Kesihatan Awam Digital iaitu satu bahagian baharu di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Setiausahanya, Datuk Harjeet Singh berkata, dengan meletakkan aplikasi itu bawah Bahagian Kesihatan Awam Digital, operasi MySejahtera akan menjadi lebih teratur.

Menurutnya, sejak pengawalseliaan MySejahtera dipindahkan kepada KKM pada 26 November 2021, beberapa perkara sudah dilaksanakan bagi menentukan hala tuju MySejahtera.

Katanya, antara perkara yang sudah dilaksanakan termasuk penubuhan Jawatankuasa Pemandu MySejahtera yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan dan dibantu juga oleh sebuah Jawatankuasa Teknikal MySejahtera.

"Ini akan menjadikan operasi MySejahtera lebih teratur apabila sumber manusia dengan kemahiran tertentu dapat berkhidmat di bahagian ini," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Harjeet yang mengulas empat saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini membabitkan MySejahtera berkata, KKM juga bersetuju dengan pandangan PAC bahawa kerajaan harus memiliki aplikasi MySejahtera sepenuhnya.

Beliau berkata, selepas mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada 24 Februari lalu untuk rundingan bersama MySJ Sdn Bhd, Jawatankuasa Rundingan Harga yang dianggotai oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM ditubuhkan serta mengadakan mesyuarat bersama MySJ Sdn Bhd.

Katanya, semua pihak bersetuju melalui rundingan berkenaan untuk pemilikan kerajaan sepenuhnya dan akan dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian yang akan ditandatangani dalam masa yang terdekat.

"Perjanjian yang bakal ditandatangani itu juga akan menyatakan dengan jelas bahawa tiada mana-mana pihak yang dibenarkan untuk menggunakan data dalam MySejahtera.

"Data MySejahtera adalah terpelihara dan dimiliki sepenuhnya oleh KKM.

"KKM juga dalam proses melantik perunding bebas untuk melihat kepada sebarang isu berkenaan dengan keselamatan MySejahtera yang boleh mengancam integriti data MySejahtera.

"Laporan keselamatan akan dikeluarkan dari semasa ke semasa dan akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal MySejahtera," katanya.

Selain itu, Harjeet berkata, harga siling untuk perolehan MySejahtera mengambil kira daripada dua tahun selepas tamat tempoh tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu dari 1 Mac 2021 hingga 1 April 2023.

Beliau berkata, ia ditentukan melalui kajian dan kaedah functional point analysis (FPA) yang dijalankan oleh MAMPU, yang berperanan sebagai penilai teknikal aplikasi dan agensi yang melihat kepada tadbir urus teknikal.

"Rundingan antara Kerajaan dengan MySJ Sdn Bhd adalah untuk perkhidmatan membangun dan menyelenggarakan 18 modul yang sudah dilaksanakan oleh syarikat itu dan tidak termasuk tiga modul perkhidmatan CSR.

"Untuk perkhidmatan di masa hadapan, KKM kini sedang dalam usaha untuk menjalankan kolaborasi bersama pembangun aplikasi yang lain bagi pembangunan ciri-ciri lain di dalam MySejahtera.

"Sebagai langkah permulaan, ciri paparan rekod pendermaan darah adalah melalui data yang disalurkan daripada Sistem Maklumat Tabung Darah (BBIS) kepada Sistem Perkongsian Maklumat Kesihatan (Health Exchange Information System) sebelum ia diintegrasikan ke dalam aplikasi MySejahtera," katanya.

Sementara itu, Harjeet berkata, proses untuk mendaftarkan harta intelek bagi aplikasi itu sudah dimulakan sejak Mac lalu, manakala sijil hak cipta MyIPO untuk MySejahtera diperolehi pada 2 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 4:06 PM