PERUBAHAN iklim yang terlalu ekstrem juga  mengakibatkan  bencana alam seperti banjir yang bukan sahaja memberi kesan kepada manusia, malah kepada kehidupan biodiversiti seperti flaura dan fauna. FOTO BERNAMA
PERUBAHAN iklim yang terlalu ekstrem juga mengakibatkan bencana alam seperti banjir yang bukan sahaja memberi kesan kepada manusia, malah kepada kehidupan biodiversiti seperti flaura dan fauna. FOTO BERNAMA
Mohd Rozaimy Ridzuan

Perubahan iklim adalah fenomena global yang berlaku secara ketara dalam tiga dekad yang lalu. Ia merujuk kepada perubahan besar yang berlaku terhadap suhu, hujan, salji atau corak angin yang terjadi sejak dahulu lagi. Perubahan iklim ini berlaku disebabkan dua faktor utama iaitu faktor semula jadi dan tindakan manusia itu sendiri. Aktiviti seperti penebangan hutan, pertambahan jumlah kenderaan, pelepasan gas rumah hijau, pembangunan industri yang tidak terancang dan pembangunan yang tidak lestari adalah antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya perubahan iklim.

Peningkatan pelepasan gas rumah hijau terutamanya dalam bentuk karbon dioksida (CO2), metana (CH4), nitrus oksida (N2O) dan gas seperti klorofluorokarbon (CFC) dan lain-lain boleh menyebabkan perubahan suhu persekitaran, cuaca yang melampau dan kenaikan paras air laut. Perubahan iklim yang terlalu ekstrem juga mengakibatkan bencana alam seperti banjir yang bukan sahaja memberi kesan kepada manusia, malah kepada kehidupan biodiversiti seperti flaura dan fauna.

Kenaikan paras laut akan memburukkan lagi tahap dan tempoh banjir di sesebuah kawasan.

Dengan menidakkan kejadian bencana yang berlaku di kawasan luar bandar, bencana banjir yang disebabkan oleh perubahan iklim memberi kesan yang amat mendalam kepada penduduk di kawasan bandar. Ramai sarjana mendapati kawasan bandar adalah sumber utama kepada pelepasan gas rumah hijau yang menyebabkan berlakunya pemanasan global. Perubahan iklim juga memberi cabaran yang jauh lebih serius kepada negara kerana pendekatan kapitalistik terhadap penggunaan sumber asli, pengeluaran, penggunaan, dan juga pelupusan sisa yang semakin meningkat.

Kesan perubahan iklim lebih ketara berlaku di kawasan bandar disebabkan oleh kepadatan penduduk dan nilai infrastruktur, aset dan ekonomi yang tinggi.

Senario perubahan iklim berupaya meningkatkan kebolehubahan dan peningkatan jumlah hujan yang boleh mengakibatkan bencana banjir yang lebih besar dan kerap.

Banjir di beberapa negeri baru-baru ini menunjukkan jangkaan manusia yang mengatakan banjir besar akan berlaku setiap seratus tahun perlu disangkal. Hal ini kerana, dengan perubahan iklim yang berlaku dan keadaan bumi yang semakin menua merungsingkan pakar untuk meramal bila dan di mana banjir besar itu akan berlaku walaupun kini pelbagai teknologi dibangunkan. Selagi teknologi itu dicipta oleh manusia, selagi itulah ia terlepas daripada kesempurnaan.

Bencana alam seperti banjir tetap terus berlaku pada masa akan datang. Namun, manusia boleh melakukan pencegahan, mitigasi, kesiapsiagaan menghadapi bencana demi mengurangkan dampak sesuatu bencana itu. Abad ke-21 dikenali sebagai century of the city dan ramai sarjana sudah mula menyeru dunia untuk melakukan perubahan dalam perancangan bandar untuk menangani perubahan iklim yang menjejaskan kelestarian bandar.

Malaysia adalah antara negara yang menandatangani Rangka Kerja untuk Tindakan Hyogo 2005–2015 dan Rangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015–2030. Ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengurangkan risiko bencana, kelemahan dan kos kerugian bencana ke arah menjadi negara yang lebih selamat, berdaya tahan dan berdaya huni.

Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk mengurangkan risiko bencana. Perkara ini perlu bermula dengan usaha ke arah pembangunan lestari yang boleh mengurangkan keberangkalian berlakunya bencana alam seperti banjir. Agak klisye seruannya, tetapi apa lagi yang boleh dikatakan kalau itu sahaja yang benar?

Pihak berkuasa tempatan yang mempunyai kuasa dalam perancangan bandar perlu meneliti semula kawasan yang dirasakan tidak sesuai untuk pembangunan. Kerjasama dengan agensi kerajaan lain perlu disinergikan agar perancangan bandar mengambil kira konsep pembagunan lestari. Pendidikan berkaitan langkah mitigasi perubahan iklim dan kesiapsiagaan rakyat menghadapi banjir perlu diperhebatkan dengan mendapatkan kerjasama pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan, universiti awam dan swasta, syarikat swasta dan orang awam.

Usaha yang dimainkan oleh pertubuhan dan badan bukan kerajaan harus dipuji kerana mereka selama ini turut membantu kerajaan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada rakyat berkenaan isu yang melibatkan perubahan iklim dan wilayah polar.

Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) yang bakal menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya telah banyak menjalankan program dan aktiviti kolaborasi bersama universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada orang awam berkaitan isu perubahan iklim dan wilayah polar. Usaha YPASM bukan sahaja dapat memberi kesedaran orang awam terutamanya belia terhadap isu berkaitan perubahan iklim dan wilayah polar, malah ia dapat menarik minat golongan muda dalam aspek pendidikan sains.

Kini, dunia tidak mempunyai masa yang banyak untuk memastikan perubahan iklim tidak berlaku secara drastik. Orang awam adalah golongan majoriti dan seharusnya memainkan peranan masing-masing dan tidak mengharapkan kerajaan semata-mata untuk mengubah segalanya. Ia bermula dengan tindak-tanduk manusia itu sendiri dalam penjagaan alam sekitar seperti tidak membuang sampah merata-rata, tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dan lain-lain. Selain itu, semua pihak termasuk orang awam perlu mempersiapsiagakan diri menghadapi bencana banjir dengan cara mendapatkan maklumat berkaitan dengan banjir, menyelamatkan diri dan ahli keluarga, menyediakan pelampung atau bot, menyediakan peralatan kit perubatan, meletakkan kenderaan di kawasan tinggi sebelum banjir, menyediakan stok makanan yang mencukupi dan sebagainya.

Semua yang dinyatakan ini bukan boleh menghalang banjir tetapi setidak-tidaknya mengurangkan penderitaaan manusia apabila bencana banjir itu tiba tanpa diduga.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 7:00 AM