KEJADIAN dua hari lalu di Kabul membuktikan rakyat Afghanistan masih jauh daripada menikmati suasana aman selepas pengunduran tentera asing. FOTO AFP
KEJADIAN dua hari lalu di Kabul membuktikan rakyat Afghanistan masih jauh daripada menikmati suasana aman selepas pengunduran tentera asing. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah

Selepas perang yang berlanjutan selama hampir 20 tahun, Amerika Syarikat (AS) akhirnya mengundurkan semua tenteranya dari Afghanistan sebelum 31 Ogos ini. Ia mula dilaksanakan sejak 1 Mei lalu selepas perkara itu diumumkan oleh Presiden Joe Biden.

Ini bermakna menjelang akhir bulan ini, tiada lagi askar AS di bumi Afghanistan.

Namun, apa yang menyebabkan perang selama dua dekad ini? Ia tercetus, selepas serangan pengganas di New York dan Washington DC pada 11 September 2001 yang dipercayai dilakukan oleh 19 anggota bersekutu dengan kumpulan Al-Qaeda.

Dalam serangan itu, hampir 3,000 orang terbunuh dan lebih 6,000 lagi cedera di New York setelah dua bangunan berkembar World Trade Center (WTC) runtuh dirempuh dua pesawat yang dipercayai dirampas oleh anggota bersekutu kumpulan Al-Qaeda.

Di Washington DC, 64 orang di dalam sebuah pesawat komersial turut terbunuh selepas ia dirampas oleh pengganas dan terhempas serta memusnahkan sebahagian Pentagon. Ia menyebabkan 125 orang lagi di lokasi itu maut.

Presiden AS ke-43, George W Bush pada ketika itu mahu Ketua Rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden yang dipercayai bersembunyi di sempadan Afghanistan-Pakistan ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Susulan itu, AS bertindak menceroboh Afghanistan pada 7 Oktober 2001. Ia adalah misi untuk memburu Osama dan kumpulan bersenjata di negara itu yang didakwa melindungi pengganas.

Osama kemudian mati dibunuh oleh tentera AS di Abbottabad, Pakistan, pada 2011, ketika pentadbiran Presiden Barack Obama. Biden, ketika itu, memegang jawatan Naib Presiden. Tentera AS dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) kemudian kekal di negara itu, sehingga kedua-dua pihak mengumumkan pengunduran tentera masing-masing, baru-baru ini.

Namun, menjelang tempoh akhir pengunduran tentera AS, pelbagai pihak mula mempersoalkan sama ada kempen ketenteraan AS itu berbaloi. Apa tidaknya, perang di Afghanistan masih tidak berkesudahan. Di pihak AS, misi asal untuk menangkap Osama dan pengganas itu berlanjutan sehingga menelan kos bertrilion-trilion dolar AS.

Ribuan askarnya juga terkorban di negara itu, manakala puluhan ribu rakyat Afghanistan turut kehilangan nyawa.

Bush yang memutuskan untuk menghantar tentera AS ke Afghanistan menjadi antara individu paling lantang yang mengkritik keputusan pengunduran tentera asing di negara itu. Beliau menyatakan orang awam dibiarkan untuk terus dizalimi Taliban.

Pendapat Bush itu ada benarnya. Ketika tentera AS mula melaksanakan pengunduran, Taliban memperkukuh cengkaman terhadap negara itu. Ia pantas menguasai wilayah di negara itu. CBS News melaporkan sejak 1 Mei, Taliban memperluas penguasaan di daerah utara dan beberapa kawasan lintasan sempadan utama.

AFP pula melaporkan kebanyakan wilayah yang ditawan Taliban ketika peringkat akhir penarikan tentera AS, dengan sebahagian besarnya berlaku di kawasan luar bandar yang kurang penduduk. Dalam beberapa minggu terakhir ini, Taliban meningkatkan tekanan di beberapa ibu negeri wilayah dan merampas kawasan sempadan utama.

Kejatuhan pusat bandar besar menjadikan serangan mereka sudah sampai ke tahap seterusnya yang menimbulkan kebimbangan bahawa tentera kerajaan tidak mampu melawan kemaraan Taliban.

Al-Qaeda pula dikatakan masih ada di negara itu. Meskipun perjanjian 2020 dengan pentadbiran Trump menyaksikan Taliban berjanji tidak akan melindungi kumpulan yang memberi ancaman keselamatan terhadap AS, laporan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa al-Qaeda mempunyai ratusan pejuang di kawasan dikuasai Taliban di 12 wilayah di negara itu.

Dengan kemaraan Taliban, ramai rakyat Afghanistan berusaha mencari jalan untuk keluar dari negara itu. Mereka termasuk individu yang bekerja dengan Barat ketika tentera AS dan Nato berada di Afghanistan, dan ahli keluarga.

AS pula seperti mahu cuci tangan. Ia memberi alasan sudah sampai masanya pembabitannya dalam perang itu diakhiri dan rakyat Afghanistan perlu merancang masa depannya sendiri. Ia juga mengusulkan mahu menggunakan negara ketiga bagi tujuan penempatan semula ribuan warga Afghanistan yang mempunyai hubungan dengan tentera Barat dan berisiko menjadi sasaran militan Taliban.

Hakikatnya - tiada satu pun pihak yang benar-benar menang dalam perang ini. Afghanistan, dengan kira-kira 38 juta penduduk, akan terus menjadi 'empayar kubur.' Meskipun dengan pelbagai campur tangan kuasa besar yang meliputi garis masa yang panjang, ia sebenarnya masih 'jauh' daripada suasana aman.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 7:00 AM