Angelina Jolie malu dengan tindakan AS.
Angelina Jolie malu dengan tindakan AS.
Agensi

Los Angeles: "Sebagai rakyat Amerika Syarikat, saya sangat malu dengan tindakan kami untuk berundur," kata pelakon popular, Angelina Jolie, 46, mengenai pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan yang kini dikuasai pejuang Taliban.

Jolie jelas semakin lantang mengutuk tindakan AS dari terus melindungi Afghanistan selepas pejuang Taliban mula menguasai negara itu, baru-baru ini.

Aktivis kemanusiaan itu mengakui bimbang dengan kekacauan di sana ketika ini akan memusnahkan hak wanita dan kanak-kanak perempuan yang diperjuangkan selama ini.

"Apa juga pandangan anda mengenai perang di Afghanistan, mungkin kita semua setuju ia tidak patut berakhir begini.

"Selepas segala pertumpahan darah, usaha, pengorbanan dan masa, AS seakan kurang keazaman untuk mengatur perubahan ini dengan lebih terurus," katanya.

Bintang filem Eternals itu masih tidak percaya AS tinggalkan Afghanistan begitu saja selepas dua dekad.

"Semestinya ia takkan pernah jadi mudah atau sempurna, tapi boleh jadi lebih baik, terjaga dan selamat," katanya.

Baru-baru ini, presidennya Mohammad Ashraf Ghani terpaksa meninggalkan negara itu selepas Kabul ditawan Taliban.

Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan buat pertama kali selepas hampir 20 tahun berikutan pengunduran tentera AS dari negara itu.

Menurut laporan media, banyak negara memutuskan untuk membawa pulang diplomat dan rakyat masing-masing dari Afghanistan serta menutup kedutaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 10:37 AM