ISMAIL Haniyyeh. FOTO AFP
ISMAIL Haniyyeh. FOTO AFP
Nadir Al Nuri

Mengimbas saat ketika saya tiba di Gaza pada awal 2013, antara aktiviti yang saya suka lakukan bersama pemuda tempatan ialah duduk di sempadan Gaza dan Israel di kawasan bukit di mana kami boleh melihat tanah mereka yang dijajah.

Sesekali kami melihat askar penjajah yang sedang meronda kawasan sempadan berpagar dan sesekali bunyi 'zuppp' peluru yang dilepaskan tentera untuk menakutkan pemuda yang berkumpul supaya tidak mendekati pagar pemisah berdesup berdekatan telinga.

Setiap kali mendengar bunyi peluru kami akan terus meniarap lalu ketawa sesama sendiri.

Memang pada awalnya, saya pelik kenapa mereka ketawa di ambang maut, tetapi apabila ditanya, mereka menjawab bahawa mereka sangat seronok apabila dapat membuatkan tentera 'naik gila' dengan gelagat mereka.

Perasaan tidak takut mati dan keseronokan melakukan sekecil perkara bagi memastikan tentera tidak senang duduk itu antara pengalaman awal yang meyakinkan saya bahawa bumi ini tidak akan tergadai.

Ahad lalu, saluran akhbar terkenal Al-Jazeera menyiarkan video yang menggemparkan rantau ini dan membuktikan apa yang saya sebutkan.

Siri Apa Yang Tersembunyi Lebih Dahsyat yang terkenal dengan pendedahan eksklusif dan menggemparkan kali ini dengan tajuk Perjanjian dan Persenjataan membawa dua tajuk besar - yang pertama beberapa pendedahan oleh Ketua Biro Politik dan orang nombor satu Hamas, Ismail Haniyyeh berkenaan rakan Palestin di rantau dan kedua penggunaan semula bahan terbuang oleh Briged Izzuddin Al-Qassam sebagai inovasi menghasilkan roket baharu.

Haniyyeh, pertamanya menyebutkan bahawa beberapa bulan lalu pejabat Jared Kushner sendiri, menantu kepada Presiden Trump sudah menghubungi Hamas untuk duduk di meja rundingan.

Hamas dengan prinsip yang jelas menolak jika perundingan akan membabitkan salah satu daripada tiga perkara - penerimaan The Deal of The Century, cadangan Palestin didirikan sebagai sebuah negara di Gaza dan tuntutan Amerika Syarikat supaya Hamas meninggalkan kebangkitan bersenjata dan diserahkan semua senjatanya kepada penjajah. Rundingan itu lalu dibatalkan.

Haniyyeh juga menceritakan bagaimana sejak dulu, ada tiga negara utama yang membantu pejuang dari segi persenjataan iaitu Iran, Syria dan Sudan. Iran dan Syria menjadi pembekal senjata dan teknologi sementara Sudan menjadi laluan masuk senjata yang diseludup.

Bagaimanapun, hubungan dengan Syria dan Iran menjadi sejuk akibat pergolakan di Syria dan penolakan Hamas menyatakan sokongan kepada Basyar Al-Assad. Ia juga bukti lain prinsip yang didukung kemas Hamas - bantu kami jika kalian mahu tanpa meletakkan apa-apa syarat. Seterusnya beberapa orang komander Briged Al-Qassam yang ditemu ramah pula mendedahkan tiga kejutan buat dunia. Yang pertama mereka menceritakan selepas perang 2014 ke atas Gaza, pasukan yang diberi tugas mengumpulkan saki-baki roket penjajah yang dilepaskan ke dalam Gaza, tetapi tidak meletup berjaya menggunakan semula bahan letupan dan besi roket itu untuk mencipta roket baharu justeru menjadikan roket Israel 'memakan tuan'.

Seterusnya mereka menceritakan bagaimana bahan paling susah didapati untuk mencipta roket baharu ialah besi untuk dibuat 'badan roket', tetapi ditakdirkan oleh Allah SWT beberapa bulan lalu mereka menemui paip besi yang digunakan penjajah sebelum meninggalkan Gaza pada 2005 untuk mencuri air dan disalurkan ke tanaman mereka.

Paip ini digali dan digunakan bagi menghasilkan roket dan sudah diuji berkesan apabila pada 2019 dalam serang balas terhadap serangan Zionis, 78 daripada roket itu berjaya dilepaskan serentak ke tanah dijajah dalam masa satu minit.

Paling akhir mereka menyingkap penemuan paling menakjubkan oleh komando laut Al-Qassam adalah kapal perang British yang ditenggelamkan dalam Perang Dunia Pertama lebih 100 tahun lalu di perairan Gaza.

Kapal HMS M15 itu yang dilengkapi ratusan peluru disebut oleh pakar persenjataan British mustahil boleh digunakan semula, tetapi Al-Qassam melakukan yang mustahil dan sesudah melakukan operasi rahsia berminggu-minggu memindahkan bahan letupan dari peluru meriam, ia berjaya dibawa ke darat dan dihasilkan menjadi roket baharu.

Palestin dalam keadaan biasa, pastinya sudah lama tumbang, tetapi terbukti, ada tangan ghaib yang sentiasa membantu bumi yang penuh diberkati ini.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 7:50 AM