KERETA kebal Israel digerakkan ke Gaza. FOTO AFP
KERETA kebal Israel digerakkan ke Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Sayap bersenjata kumpulan Hamas Briged Al-Qassam pada Isnin berkata, pejuangnya memusnahkan 27 kenderaan tentera Israel di Gaza dalam dua hari lalu.

"Mujahidin (pejuang) kami memusnahkan 27 kenderaan tentera Israel sebahagian atau sepenuhnya dalam tempoh 48 jam yang lalu dalam pertempuran (di Gaza)," kata jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Obeida dalam satu kenyataan memetik laporan Agensi Anadolu.

Beliau menambah bahawa pejuang Al-Qassam turut menyerang tentera Israel dengan puluhan peluru mortar.

Tentera Israel masih belum mengulas mengenai pengumuman kumpulan Palestin itu.

Israel berkata, 30 askar sudah terbunuh dan 260 yang lain cedera sejak ia memulakan operasi darat yang diperluaskan di Semenanjung Gaza, pada 27 Oktober lalu.

Israel melancarkan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober lalu.

Sekurang-kurangnya 10,022 rakyat Palestin, termasuk 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita terbunuh dalam pengeboman Israel di Semenanjung Gaza.

Angka kematian Israel hampir mencecah 1,600, menurut data rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 9:48 AM