PERCIKAN api dan asap daripada serangan udara Israel di Rafah selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
PERCIKAN api dan asap daripada serangan udara Israel di Rafah selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Briged Al-Qassam membuat kejutan apabila menyerang balas pesawat perang Israel menggunakan misil anti pesawat Strela.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam perkongsiannya di Telegram memaklumkan, itu kali pertama Briged Al-Qassam bertindak balas menggunakan Strela.

"Serangan yang dilakukan penjajah ke atas Gaza semalam, di bahagian selatan membabitkan pengeboman tanah kosong.

"Alhamdulillah tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan, malah Briged Al-Qassam membuat kejutan dengan menggunakan misil anti pesawat 'Strela' buat pertama kali untuk menyerang balas pesawat perang Israel," katanya.

Israel melancarkan serangan udara pertama di Semenanjung Gaza, Selasa lalu, sebagai tindak balas serangan roket dari Palestin ketika ketegangan memuncak di sekitar tapak suci Baitulmaqdis, hujung minggu lalu.

Siren amaran dibunyikan di selatan Israel pada malam Isnin selepas roket dilepaskan dari kawasan yang dikawal oleh kumpulan Hamas menjadikan ia kejadian pertama seumpama itu, sejak awal Januari.

Israel menuduh Hamas bertanggungjawab terhadap semua roket yang dilancarkan ke Israel.

Insiden itu, pertama sejak Januari, berlaku beberapa minggu selepas konflik Israel dan Palestin di perkarangan Masjid Al-Aqsa.

Sementara itu, Jumaat lalu, sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel yang menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa selepas solat subuh.

Susulan itu, rakyat Palestin mengadakan protes dan menyeru negara Islam melindungi Al-Aqsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 4:48 PM