GALAKKAN anak memandang mata ibu ketika berkomunikasi.
GALAKKAN anak memandang mata ibu ketika berkomunikasi.
Susunan Hajahfarhana Tarmudi

Komunikasi tanpa pandangan mata, bahasa gerak tubuh dan ekspresi muka ibarat mi kosong tanpa rencah. Maklumat atau mesej utama sampai kepada pendengar, tetapi informasi sosial seperti emosi pencerita akan hilang.

Pandangan mata ialah kemahiran asas perlu dikuasai untuk berkomunikasi apabila dua orang bertentang mata pada satu masa yang sama.

Ia salah satu komunikasi bukan lisan yang memberikan maklumat penting dari segi sosial dan emosi. Sesetengah golongan mempunyai masalah untuk membuat pandangan mata seperti individu sindrom kurang daya tumpuan atau gangguan Hiperaktif Defisit Perhatian (ADHD) dan autisme.

Pandangan mata sangat penting kerana ia pusat tumpuan. Apabila kita memandang mata antara satu sama lain ketika berkomunikasi, kita mendapat maklumat mengenai minat rakan itu berkenaan topik perbincangan.

Malah, melalui pandangan mata juga boleh mendedahkan pemikiran dan emosi kita. Melihat pandangan mata seseorang, kita boleh menggambarkan perasaan mereka sama ada sedih, gembira atau ingin tahu di samping membina hubungan yang rapat.

Kemahiran pragmatik

Pragmatik merujuk kepada kemahiran penggunaan bahasa dalam komunikasi seharian. Ini termasuklah cara bertutur, perkataan atau ayat yang digunakan untuk menyampaikan maksud, gerak tubuh dan kesesuaian penggunaan bahasa dalam situasi tertentu atau adat resam dalam komuniti berkenaan.

Individu yang mempunyai masalah kemahiran pragmatik kerap mengalami kesukaran memahami pertuturan yang disampaikan dan sukar untuk memberi gerak balas dalam komunikasi.

Pandangan mata bayi

Pada usia antara 0 ke tiga bulan, bayi mula melihat mata dan mulut penutur. Seawal empat bulan, bayi mula membuat pandangan mata untuk berkomunikasi dengan orang di sekelilingnya terutama ibu bapa secara konsisten.

Pada usia sembilan bulan, bayi bersedia ke peringkat seterusnya iaitu perhatian bersama sekiranya kemahiran pandangan mata asas berjaya dikuasai.

Bayi menggunakan pandangan mata, gerak tubuh badan dan bunyi bagi menyampaikan kehendaknya. Mesej disampaikan kepada pendengar melalui pandangan matanya ke arah benda yang menarik minatnya.

Galak anak pandang

Bagi menggalakkan anak menatap mata ibu atau bapa, ada beberapa cara yang boleh dilakukan mungkin boleh membantu mereka lebih fokus kepada sesi komunikasi.

1. Panggil anak dan pegang mukanya menghadap wajah kita sebelum dan ketika bercakap dengan si kecil.

2. Puji apabila anak membuat pandangan mata berkomunikasi atau ketika nama dipanggil. Misalnya, ‘Bagus Zawir pandang Ummi bila bercakap’.

3. Gunakan ekspresi muka yang menarik minat anak untuk memandang muka dan mata kita.

4. Ketika sedang bermain, letakkan mainan yang bersaiz sederhana berdekatan mata anda.

5. Sediakan situasi anak perlu meminta dan membuat pandangan mata sebelum mendapat barang yang dikehendaki.

6. Bermain ‘boo boo chak’ dengan kanak-kanak yang masih kecil.

Sumber: Portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 1:10 PM