PEMANDU mabuk.
PEMANDU mabuk.
Dr Zalmizy Hussin

PEMANDUAN dalam keadaan mabuk adalah masalah serius yang mengakibatkan ribuan kematian setiap tahun. Terlalu banyak nyawa hilang kerana memandu dalam keadaan mabuk. Kematian akibat memandu dalam keadaan mabuk bukan saja mempengaruhi mangsa, tetapi juga menimpa semua orang di sekitar mereka seperti keluarga dan rakan-rakan.

Satu malam, satu minuman, satu kesilapan adalah semua yang diperlukan untuk memandu dalam keadaan mabuk. Memanusiakan manusia adalah suatu usaha yang agak sukar. Isu pemandu mabuk adalah antara cabaran realiti sosial yang semakin menjadi polemik netizen. Adakalanya ia menakut dan membimbangkan.

Statistik tangkapan pemandu mabuk bagi 2018 adalah sebanyak 735 individu ditahan meningkat kepada 828 individu pada 2019. Ini jelas menunjukkan peningkatan bilangan kes saban tahun. Banyak persoalan timbul apabila mendepani isu ini. Apakah kesudahannya? Suatu ketika, amat dikesali apabila seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) meninggal dunia akibat bahana pemandu mabuk.

Di media sosial pelbagai lunak emosi dan ekspresi netizen diluahkan. Ada yang marah, melontarkan komentar ejekan kata-kata kesat, sarkastik, mencarut sudah normal baharu dalam realiti alam maya. Jika anda seorang yang suka minum arak, anda adalah individu yang bermasalah seandainya memandu selepas mengambil alkohol adalah suatu jenayah serius.

Sesetengah pemandu mungkin tidak menunjukkan tanda amaran berada di bawah pengaruh arak. Malah, mereka terfikir tindakan itu tidak mendatangkan kecelakaan kepada orang lain. Adalah penting untuk ingat apa-apa bentuk minuman dan memandu ketika mabuk salah di sisi undang-undang yang boleh diadili hukuman berat. Undang-undang sedia ada? Jawapannya ada dalam diri anda semua.

Kajian di Amerika Syarikat mendapati kumpulan terbesar yang berisiko minum dan memandu adalah mereka yang sering minum minuman keras atau sedang mengalami gangguan ketagihan alkohol. Ini bermakna mereka mengambil alkohol dalam jumlah yang banyak pada jangka masa singkat boleh mendatangkan kecelakaan dan berbahaya kepada orang lain. Diperlukan kira-kira 30 minit hingga dua jam untuk alkohol diserap ke dalam aliran darah anda.

Apabila alkohol berada di dalam sistem badan anda, ia mempengaruhi seberapa cepat anda dapat bertindak balas terhadap situasi yang berbeza. Minum arak melambatkan masa tindak balas anda yang dapat meningkatkan kemungkinan berlakunya kecelakaan. Oleh itu, jika kereta di hadapan anda brek secara tiba-tiba atau pejalan kaki melintasi jalan ataupun anda terkejut ada sekatan pemeriksaan polis, otak anda akan mengambil masa lebih lama untuk memproses situasi tersebut bagi mengelakkan berlakunya kemalangan. Memandu yang selamat memerlukan kemampuan untuk berkonsentrasi, membuat pertimbangan yang baik dan cepat bertindak balas terhadap sebarang situasi yang berlaku.

Sekatan jalan adalah kaedah konvensional yang digunakan oleh pasukan polis untuk meningkatkan pengawasan mereka terhadap pemandu dan mencegah memandu dalam keadaan mabuk.

Pemanduan dalam keadaan mabuk adalah contoh terbaik bagi keperluan dan peluang pencegahan secara menyeluruh. Tegasnya, undang-undang sedia ada tidak mampu mengekang masalah ini daripada terus berlaku. Tetapi, tindakan undang-undang saja tidak dapat menyelesaikan masalahnya. Banyak strategi lain juga berpotensi untuk mengurangkan pemanduan dalam keadaan mabuk.

Terdapat banyak penyelesaian yang dilakukan untuk mencegah pemanduan dalam keadaan mabuk. Namun, pencegahan yang digunakan masih gagal membendung masalah pemandu mabuk. Undang-undang lalu lintas; teknologi keselamatan; kempen kesedaran orang ramai; pendidikan. Teknologi baru dicadangkan bagi membendung masalah ini adalah pengenalan aplikasi berkongsi perjalanan baharu.

Sama seperti Grab Car, MyCar Passenger dan EzCab, aplikasi perkhidmatan ini membolehkan pengguna meminta perjalanan dengan telefon pintar mereka; sistem kemudian menghantar pemandu yang tersedia, terdekat untuk mengambil penumpang dan membawa ke tempat tujuannya. Aplikasi ini khas pada peminum arak untuk melanggan perkhidmatan yang biasanya cepat, boleh dipercayai, langsung, dan murah.

Sukar untuk mempercayainya bahawa masih ada rakyat Malaysia yang tidak tahu betapa bahayanya minum arak dan memandu. Pada ketika ini, bagaimana mereka yang tidak tahu bahawa memandu dalam keadaan mabuk boleh membuat anda ditangkap atau terbunuh?

Sikap manusia hanya boleh dikawal dengan undang-undang. Di Taiwan, khususnya merancang untuk meningkatkan hukuman bagi mereka yang menyebabkan kemalangan maut ketika memandu dalam keadaan mabuk. Ini termasuk hukuman mati untuk kes yang paling mengerikan dan mencetuskan kemarahan orang ramai.

Lontaran idea dan luahan ekspresi kemarahan rakyat marhaen di 'Jabatan Netizen Negara' juga mencadangkan hukuman mati adalah hukuman paling tepat kepada pesalah pemandu mabuk. Hukuman pada pesalah pemandu mabuk
di Bulgaria paling berat. Rakyatnya berdepan hukuman mati jika mengulangi kesalahan itu kali kedua. Apa pilihan kita?

Pada bingkisan noktah ini, pemandu mabuk mesti dikenakan hukuman mati kerana wang dilihat tidak mampu membeli nyawa bagi menyelamatkan diri. Pilihan di tangan kita. Pilih apa yang kita ada. Buatlah keputusan bijaksana menjadikan pengguna jalan raya dan orang awam lebih selamat.

Terlalu banyak orang yang sudah mati kerana sikap pemandu mabuk. Sebagai masyarakat, kita masih belum benar-benar memperhitungkan tanggungjawab yang wujud dengan menjadi masyarakat sebagai pemacunya. Sudah tiba waktunya kita menyingkirkan segala prasangka dan pertempuran politik. Fokus pada satu-satunya perkara yang sangat penting iaitu menyelamatkan nyawa!

Penulis Pakar Kriminologi di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, (SAPSP), Universiti Utara Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 9:08 AM