Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew  akan bincang dari sudut perundangan bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew akan bincang dari sudut perundangan bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).
Samadi Ahmad

KABINET bersetuju meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata, akta sedia ada akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat dan setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut beliau, cadangan itu akan dibincangkan dari sudut perundangan bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

"Kajian itu akan mengambil masa beberapa bulan dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada seisi kedua Jun atau Julai ini," katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Timbalannya Datuk Kamarudin Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan Seksyen 41 Akta 333 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang telah didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Loke berkata, peruntukan undang-undang lain yang akan dikaji semula termasuk had ditetapkan kandungan alkohol dalam darah pemandu.

Menurut beliau, ketika ini undang-undang semasa membenarkan sehingga 80 miligram (mg) alkohol dalam 100 mililiter (ml) darah manakala had antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 50 mg dalam 100 ml darah.

"Perkara ini perlu dikaji semula. Mereka yang didapati memandu dalam keadaan mabuk melebihi jumlah yang dibenarkan sehingga menyebabkan kematian wajar dikenakan hukuman lebih berat".

"Kita juga akan mengkaji semula peruntukan bagi memastikan pemandu yang didapati bersalah memandu secara tidak berhemah akan menerima hukuman lebih sesuai".

"Kementerian juga akan mempertingkat kempen terhadap pemanduan mabuk dengan mengarahkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk meningkatkan kempen" Jangan Minum dan Memandu " bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak memandu ketika mabuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 6:48 PM