BUKAN setakat filem tapi sebuah pergerakan buat artis Asia di Hollywood.
BUKAN setakat filem tapi sebuah pergerakan buat artis Asia di Hollywood.
Georgie Joseph

Sejak novel Crazy Rich Asians karya Kevin Kwan dikatakan akan diadaptasi ke filem, seluruh dunia ternanti-nanti bagaimana agaknya hasil sentuhan pengarah Jon M Chu terhadap karya itu.

Mengadaptasi novel paling laris dan mencetus fenomena pastinya bukan tugas mudah.

Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah agenda utama filem itu sendiri dalam mengubah landskap perfileman di Hollywood.

Ia bukan sekadar filem sebagai hiburan sebaliknya satu pergerakan bagi melakar sejarah tersendiri buat pengamal seni perfileman warga Asia.

Sejak dulu, industri perfileman Hollywood didominasi golongan kulit putih dan jarang sekali pelakon keturunan Asia diberikan watak utama.

Hakikatnya, pasaran buat mereka terlalu sempit di sana.

JON M Chu
JON M Chu

Sehubungan itu, Jon yang berketurunan Asia Amerika menyahut cabaran untuk melangkaui jurang pemisah itu dan menjadikan filem Crazy Rich Asians membentuk pergerakan bagi mencipta sejarah berkenaan.

Ia nyata menjadi satu peristiwa signifikan dalam sejarah perfileman Hollywood apabila filem ini mengetengahkan hampir keseluruhan pelakon berdarah Asia.

Jika sebelum ini statistik sebegini jadi perdebatan selain hentaman dari pelbagai sudut, namun karya yang satu ini cukup mengejutkan.

Tiada lagi keraguan dan ketakutan suara mereka tidak didengari. Filem ini dibuat bagi memberi anjakan kepada bakat keturunan Asia diberikan keadilan sama rata di sana.

Menurut Jon, ia bukan filem semata-mata tetapi ia adalah satu pergerakan yang cukup bermakna.

 ANTARA babak menarik dalam filem ini.
ANTARA babak menarik dalam filem ini.

“Ia sangat menjengkelkan. Sukar untuk percaya sudah masuk 2018 tapi kita masih berada di takuk lama. Maka kita mesti mulakan perubahan.

“Siapa pun tidak tahu apa dan di mana silapnya. Saya sudah berada dalam industri ini lebih 10 tahun menjadikan saya juga termasuk dalam kepincangan ini.

“Saya terbuka mata bahawa jika mahu anjakan, ia perlu bermula dari bawah. Saya bukannya makin muda dan tertanya-tanya, apa lagi boleh disumbang di pawagam? Apa sebenarnya pembaharuan yang saya bawa?” katanya.

CRAZY Rich Asians memecah dominasi pelakon kulit putih di Hollywood.
CRAZY Rich Asians memecah dominasi pelakon kulit putih di Hollywood.

Dalam pada meraih pencapaian yang tentu secara peribadi sangat bermakna itu, Jon tidak mahu tanggungjawab berkenaan terhenti di sini.

Dia mahu mesejnya dihadam setiap orang termasuk pelakon, pengamal filem dan penyokong filem secara keseluruhan.

“Saya cuma mahu sampaikan mesej kepada sesiapa yang terfikir membuat filem ini adalah satu agenda, mereka perlu melakukannya dengan tepat.

“Ini adalah sebuah sejarah yang sangat penting dan setiap artis ada hak masing-masing untuk melaksanakannya mengikut perspektif sendiri. Bagaimanapun, saya mahu mereka tahu masa kita sudah tiba dan jika mahu bercerita, perlulah dilakukan seadilnya,” katanya.

PELAKON Taiwan, Constance Wu (kanan) bersama pelakon keturunan Asia Amerika, Awkwafina.
PELAKON Taiwan, Constance Wu (kanan) bersama pelakon keturunan Asia Amerika, Awkwafina.

Bagi Jon, tiada lain di hatinya melainkan untuk membela pengamal seni rantau ini.

Menurutnya, apa yang dijanjikan untuk mereka di Hollywood perlu dikotakan.

“Saya berusaha mempertahankan hak setiap mereka yang dijanjikan dengan tawaran di Hollywood. Saya tidak mahu janji itu hanya palsu dan mereka sebaliknya bukan mendapat hasil seperti dijanjikan.

“Selepas membuat Crazy Rich Asians, saya menyedari ada kuasa dan tanggungjawab kami sebagai artis di Hollywood. Kami sebenarnya mampu bersuara lantang dan meninggalkan impak,” katanya.

MICHELLE Yeoh
MICHELLE Yeoh

Mula ditayangkan di seluruh negara hari ini, Crazy Rich Asians sangat istimewa apabila turut menampilkan tiga pelakon dari Malaysia iaitu Henry Golding, Tan Sri Michelle Yeoh dan Carmen Soo.

Apa yang menarik, Henry diberi kepercayaan menggalas watak utama sebagai Nick Young, Michelle memegang watak ibunya menerusi watak Eleanor Sung-Young dan Carmen Soo sebagai watak pembantu.

Turut membintangi filem itu adalah pelakon Taiwan, Constance Wu sebagai Rachel Chu, Awkwafina (Goh Peik Lin), Gemma Chan (Astrid Leong-Teo), Sonoya Mizuno (Araminta Lee) dan Ken Jeong (Goh Wye Mun).

HENRY Golding bawa watak utama sebagai Nick Young.
HENRY Golding bawa watak utama sebagai Nick Young.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 1:06 PM