FOTO NSTP
FOTO NSTP
Helmy Abd Rahman


DALAM ganas ada lembut. Itu yang dapat disimpulkan tatkala menemuramah insan bernama Fathullah Luqman Yusuff ini.

Fathullah Luqman, 47, atau lebih mesra disapa Fathul adalah nama besar dalam komuniti peminat muzik ‘underground’ di negara ini.

Mula menjengah dunia muzik tanah air pada 1992 menerusi kumpulan Infectiuos Maggots yang membawakan irama keras ‘Industrial Death Metal’, Fathul kemudian tampil sebagai penyanyi utama kumpulan alternatif Spiral Kinetic Circus pada 1997.

Pada 2005, Fathul muncul dengan projek solo. Dia menggunakan nama pentas Fathulistiwa Soundscape.

ANTARA karya dihasilkan Fathul. FOTO NSTP
ANTARA karya dihasilkan Fathul. FOTO NSTP

Menariknya, album yang dikeluarkan itu menggunakan konsep jauh daripada bunyi-bunyian ‘herot-benyot’ yang bingit.

Nama lelaki ini juga pernah ‘meletup’ sebagai komposer apabila dua lagu ciptaannya yang dinyanyikan kumpulan Flop Poppy diterima ramai.

“Lagu berjudul Cinta agak popular di radio pada sekitar 2000 dan berjaya masuk ke pentas final Juara Lagu ke-17 dan lagu Rahsia yang juga dibawakan oleh kumpulan Flop Poppy sempat ke Separuh Akhir Juara Lagu ke-20.

“Ada juga yang hairan, terutama peminat kumpulan Infectious Maggots apabila saya tulis lagu ‘jiwang’ tetapi sebenarnya itulah saya.

“Saya punya dua perasaan, contohnya lembut dan kasar... ‘chaos’ (kacau) dan ‘calm’ (tenang),” katanya.

BERSAMA rakan-rakan sealiran.
BERSAMA rakan-rakan sealiran.

Menurut Fathul, banyak kenangan pahit manis disimpannya sepanjang bergelar penyanyi dan komposer lagu.

“Kenangan terindah dan paling manis adalah ketika proses menulis serta merakamkan album.

“Pada masa itu tiada peralatan canggih seperti sekarang. Saya berkampung di studio merakam lagu bising dan ganas yang ketika itu masih baru di pasaran muzik tanah air.

“Mendengar kembali lagu yang dicipta bersama ahli kumpulan lain siap dan dimainkan di pemain kaset adalah sesuatu yang amat membanggakan.

“Begitu juga gigs dan konsert... berada di pentas terasa amat unik. Saya suka dan merindui perasaan resah gelisah sebelum membuat persembahan pentas.

“Saya sudah menghasilkan sembilan album sendiri dan menulis lagu serta lirik untuk artis lain dalam pelbagai genre antaranya pop, rock dan metal,” katanya.

KETIKA mengadakan persembahan pentas bersama kumpulan Infectious Maggots. FOTO NSTP
KETIKA mengadakan persembahan pentas bersama kumpulan Infectious Maggots. FOTO NSTP

Bakat seni lelaki ini seakan-akan tidak terbatas apabila dia mula berjinak-jinak dengan seni visual.

Ditanya mengenainya, kata Fathul, tidak banyak beza antara muzik dan sini visual.

“Peralatan mungkin berbeza dan hasil akhir juga berlainan namun proses menghasilkannya sama. Maksud saya dari segi proses pengolahan idea dan ilham kepada penghasilan karya.

“Saya dilahirkan dalam keluarga yang mendukung apa saja cita-cita yang baik dan positif. Ibu saya banyak menyokong dengan membelikan itu dan ini untuk saya.

“Saya banyak belajar melalui proses ‘cuba-jaya’, satu proses panjang dan memenatkan kerana tidak mampu masuk ke kolej seni.

“Tapi kekurangan dan kekangan inilah menjadikan saya lebih kreatif. Setakat ini saya rasa bangga apabila tujuh karya saya terpilih menjadi koleksi tetap di Balai Seni Visual Negara.

“Saya sudah menyertai 60 pameran lukisan, baik solo mahupun berkumpulan dan yang terbaru pada Ahad ini di pameran berkumpulan yang bertajuk Artis@Pelukis.

“Antara artis yang ikut sama ialah Imuda dan Sani Sudin. Pameran ini akan dirasmikan pengarah dan penerbit terkenal, U-Wei Haji Saari,” katanya.

FATHUL memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak yang menyertai bengkel seni yang dianjurkannya. FOTO NSTP
FATHUL memberi tunjuk ajar kepada kanak-kanak yang menyertai bengkel seni yang dianjurkannya. FOTO NSTP

Selain itu, katanya, dia pernah menganjurkan bengkel seni membabitkan penyertaan 200 kanak-kanak yang bersama-sama melukis dengan pelukis profesional.

“Hasilnya amatlah menarik dan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata,” katanya.

Menurutnya, dia kini aktif berniaga di pasar lambak di Amcorp Mall setiap Ahad, dengan mengkhususkan penjualan permainan karakter TV popular di Jepun, antaranya Ultraman, Kamen Rider dan One Piece.

“Sebenarnya sudah lama saya berniaga di situ ketika zaman bujang lagi tetapi sekarang ini lebih kerap.

“Saya sering ditemani isteri (Farah Maizura Ali) dan dua puteri kesayangan iaitu Mariam, 6, dan Khadijah yang kini berusia dua tahun,” katanya.

BERSAMA dua puteri kesayangannya, Mariam  (kanan) dan Khadijah. FOTO NSTP
BERSAMA dua puteri kesayangannya, Mariam (kanan) dan Khadijah. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:06 AM