EKSPEDISI anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Pahang. FOTO NSTP
EKSPEDISI anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Pahang. FOTO NSTP
Aniza Zainudin

KEINDAHAN puncak Gunung Tapis di hulu Sungai Lembing, Kuantan pastinya keunikan kawasan yang dipanggil Taman bonsai.

Memiliki ketinggian kira-kira 1,511 meter dari aras laut, rata-rata pendaki tertarik dengan taman bonsai yang dipenuhi taburan pokok renek berwarna coklat kejinggaan gara-gara kehadiran lumut.

Selain itu, Gunung Tapis turut menyajikan keistimewaan hamparan awan yang melitupi pemandangan dari puncak.

Ini antara kepuasan diterima kumpulan pendaki dari Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Pahang ketika melakukan ekspedisi dua hari satu malam di Gunung Tapis pada Februari lalu.

EKSPEDISI memerlukan kekuatan fizikal dan mental. FOTO NSTP
EKSPEDISI memerlukan kekuatan fizikal dan mental. FOTO NSTP

Peserta, Mohd Faizi Zainudin, 30, berkata, ekspedisi pendakian itu disertai 32 orang termasuk tujuh urus setia dan enam pengiring.

“Bertujuan mengukuhkan silaturahim antara kakitangan awam Pahang dan menggalakkan aktiviti riadah, pendakian ini juga ingin memperkenalkan Gunung Tapis sebagai satu tarikan di negeri ini.

“Gunung ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang pastinya mencatatkan pengalaman menarik kepada pencinta aktiviti lasak.

DAHAN pokok dipenuhi lumut coklat kejinggaan. FOTO NSTP
DAHAN pokok dipenuhi lumut coklat kejinggaan. FOTO NSTP

“Antara cabaran perlu dilalui adalah jalan baharu hingga ke kem tiga, laluan di lereng sungai berbatu dan licin, sebahagian laluan menegak antara 60, 90 serta 110 darjah malah terpaksa memanjat dahan pokok.

“Oleh itu, ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal dengan motivasi diri untuk menamatkan pendakian,” katanya yang pernah mendaki Gunung Datuk dan Gunung Nuang sebelum ini.

Berkongsi pengalaman, Mohd Faizi berkata, terlebih dulu mereka berkumpul pekan Sungai Lembing sebelum menaiki kereta pacuan empat roda menuju ke titik semak pertama (kaki gunung) kira-kira jam 8.45 pagi.

LALUAN air terjun menuju puncak Gunung Tapis. FOTO NSTP
LALUAN air terjun menuju puncak Gunung Tapis. FOTO NSTP

Perjalanan laluan balak dan anak sungai memakan masa satu setengah jam, cabaran menuju ke titik semak kedua dan ketiga memerlukan kumpulan ini melalui tepi anak sungai serta melintasi kawasan air terjun.

Mereka mengambil masa enam jam untuk tiba di titik semak ketiga yang sepatutnya hanya menuntut masa empat hingga lima jam apabila ada peserta tercedera. Apabila sampai, mereka terus memasang khemah.

KEUNIKAN awan karpet. FOTO NSTP
KEUNIKAN awan karpet. FOTO NSTP

Tepat jam 2 pagi, kumpulan ini kembali meneruskan pendakian ke puncak selama enam jam demi menyaksikan keindahan alam semula jadi yang tidak diterokai.

Ujarnya, pemandangan dari puncak Gunung Tapis sangat menakjubkan malah menyifatkan ekspedisi menawan gunung berkenaan berbaloi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 9:31 AM