Zuliaty Zulkiffli

Jitra: "Saya sedang baiki motosikal, tiba-tiba ada pelanggan beritahu bahagian atas bengkel sedang terbakar," kata pemilik bengkel di Pekan Tok Jalai, di sini yang dalam kebakaran, hari ini.

Tan Si Bong, 60, berkata, dia bergegas menyelamatkan diri selepas menyedari api marak dengan terlalu cepat sehingga tidak sempat selamatkan motosikal pelanggannya.

"Dalam kelam kabut saya hanya berjaya menyelamatkan motosikal yang ada di hadapan bengkel, manakala yang ada dalam bengkel musnah.

Katanya, dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, dua premis iaitu bengkel motosikalnya dan kedai telefon musnah.

Si Bong berkata, bengkel motosikal yang diusahakannya sejak 43 tahun lalu musnah sekelip mata.

"Saya sedih tengok semuanya musnah sekelip mata," katanya yang turut mempunyai masalah jantung.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran dua buah kedai dua tingkat.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jitra tiba di lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 9.56 pagi.

Katanya, anggaran kemusnahan setiap premis berkenaan adalah 80 peratus.

"Api berjaya dikawal pada jam 10.44 pagi dan kebakaran turut membabitkan beberapa buah motosikal.

"Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

BENGKEL milik Tan Si Bong musnah dalam kebakaran di Pekan Tok Jalai. FOTO Zuliaty Zulkiffli
BENGKEL milik Tan Si Bong musnah dalam kebakaran di Pekan Tok Jalai. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 3:09 PM