Azlan Komeng
Azlan Komeng
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Azlan Komeng menolak dakwaan dirinya terkena gangguan sihir atau ilmu hitam bagi meraih publisiti dan sekali gus membantu melonjakkan namanya.

Azlan atau Muhammad Azlan Kamiran, 47, menegaskan dia tidak memerlukan kontroversi sebegitu kerana selama aktif dalam lakonan, fokus utamanya bukan mengejar populariti atau nama.

"Rasanya semua sedia maklum, saya bukan orang yang sangat popular. Tapi, di mana-mana negeri yang saya pergi, orang kenal saya. Jadi macam kelakar juga bila orang kata saya ini 'suam-suam kuku'. 

"Jujurnya, saya tidak mempunyai apa-apa alasan untuk membuat kontroversi bagi menaikkan nama saya sebab orang sudah kenal saya dengan apa yang saya buat menerusi kerja saya. 

"Saya bukan peniaga nak tularkan produk Saya tak perlu pun nak 'viral' (tular) walaupun saya dan isteri, Nur Nilam Ortiz menguruskan perniagaan makanan sekarang ini. 

"Jadi saya harap janganlah terus menuduh bukan-bukan, jangan membandingkan atau menyamakan jalan hidup kita dengan jalan hidup orang lain," katanya.

Terdahulu, Azlan mengulas mengenai kontroversi membabitkan dirinya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Rebel: Berontak Untuk Berotak arahan Datuk Awie di TGV The Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini. 

Berkongsi lanjut mengenai gangguan sihir yang dialaminya itu, teraju filem Rebel ini percaya gangguan ilmu hitam berkenaan bertujuan untuk meruntuhkan rumah tangganya.

"Saya takkan berkongsi dengan orang ramai mengenai perkara ini secara terperinci kerana saya mahu memberi ruang untuk diri sendiri dan isteri. Saya bukan orang hebat, ternama untuk orang lain nak dengki. Tapi, saya tahu ada agenda peribadi yang mahu meruntuhkan rumah tangga saya bersama isteri.

"Bagi saya, sangat tidak baik dan tidak elok anda terus menganggu isteri saya berterus-terusan. Saya akui sehingga sekarang masih ada gangguan sihir itu dan tak boleh nak cerita bagaimana? Paling teruk kena adalah isteri saya cuma Alhamdulillah, dia (isteri) sudah semakin kuat.

"Makanan yang kami buat untuk berniaga juga pernah bertukar menjadi racun. Tak mengapa, permainan sihir adalah perkara yang dimurkai Allah. Saya yakin segala kejadian ini berlaku atas izin Allah juga. Jadi, kita minta pada Allah untuk membatalkannya (sihir) kerana manusia tiada kuasa," katanya. 

Azlan berkata, bagaimanapun  rumah tangganya bersama isteri, Nur Nilam Ortiz dan seorang anak mereka, Adem Mike, 5, dalam keadaan baik-baik saja.

"Apa yang boleh saya katakan, hubungan dengan isteri semakin baik. Alhamdulillah, apa yang digembar-gemburkan sebelum ini adalah cerita lama selepas saya mengambil langkah untuk tidak lagi melakukan perkara tidak baik itu. 

"Jadi mungkin ini adalah kifarah daripada tindakan saya yang dulu. Saya terima dan mohon maaf sekiranya ada kata-kata kasar daripada isteri saya yang menyinggung perasaan sesiapa. Dia seorang yang baik, tapi perkara yang menimpanya itu menjadikan isteri kini mudah beremosi. 

"Saya mohon orang ramai faham perasaan seorang isteri dan ibu yang diganggu dan pelbagai lagi. Perkara ini (sihir) adalah bertujuan untuk meruntuhkan rumah tangga kami. Jadi, saya mohon orang ramai cuba memahami, bantu doakan kami dan beri sokongan," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 12:40 PM