Pertama kali Arrora berjauhan dengan suami.
Pertama kali Arrora berjauhan dengan suami.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : Penyanyi, Arrora Salwa meluahkan rasa kesedihan apabila buat pertama kali terpaksa menjalani perhubungan jarak jauh dengan suaminya, Kapten Ahmed Mahfuz.

Luahan itu dikongsikan Arrora ketika menghantar suaminya yang bertugas sebagai juruterbang untuk syarikat penerbangan Eropah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

"Seumur hidup saya, inilah kali pertama saya terpaksa menjalani PJJ (perhubungan jarak jauh) dengan insan tersayang. Saya tak pernah tahu apa itu kehidupan PJJ sebelum ini.

"Kali pertama melalui pengalaman ini, terus terpaksa melaluinya selama tiga tahun. Dalam masa tiga tahun itu, suami berpeluang balik ke Malaysia juga," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai situasi dan penerimaan anak-anak atas pemergian bapa mereka demi menjalani tugas, Arrora berkata, anak-anak berjaya menahan kesedihan saat di lapangan terbang.

"Anak-anak, alhamdulillah mereka faham dengan situasi. Tapi, perasaan sedih itu memang ada, tambah-tambah saya sebagai isteri.

"Sewaktu menghantar ayah mereka ke lapangan terbang pun, anak-anak masing-masing dapat menahan kesedihan mereka sebab tak mahu ayahnya turut bersedih. Tapi, bila masuk sahaja ke dalam kereta, semuanya meraung," katanya.

Dalam tempoh tiga tahun ini, Arrora dan anak-anaknya akan mencari waktu sesuai untuk ke Eropah dan bertemu suaminya.

"Jadi, selepas ini saya dan suami akan berjumpa sekali sekali dan itu dah menjadi lumrah. Mungkin saya akan ke Eropah bersama anak-anak untuk melawat suami apabila dapat peluang bercuti bersama," katanya.

Ini adalah kali pertama Arrora dan suaminya berjauhan sejak berkahwin pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 11:46 AM