SYAMSUL Yusof dan Puteri Sarah.
SYAMSUL Yusof dan Puteri Sarah.
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur : Biarpun hubungan antara Puteri Sarah dan Syamsul Yusof sudah berakhir, penerbit Datuk Yusof Haslam menjelaskan ukhuwah yang terjalin akan berkekalan sampai bila-bila.

Yusof menegaskan, dia dan isterinya, Datin Patimah Ismail juga masih mengekalkan hubungan baik kedua besannya iaitu Megat Kamaruddin dan Paridah Puteh.

"Hubungan keluarga saya dan keluarga Puteri Sarah tak akan pernah berakhir. Ukhuwah yang terjalin itu akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

"Bahkan sehingga ke hari ini, hubungan saya dan besan juga baik-baik saja dan ada masa kami akan keluar makan bersama. Tiada apa yang berubah pun.

"Biarpun anak-anak kami sudah berpisah namun tidak wujud jurang antara kami. Apatah lagi, kehadiran cucu juga mengeratkan lagi hubungan kami," kata Yusof ketika mengulas sambutan Aidilfitri tahun ini bersama Puteri Sarah ketika ditemui pada tayangan perdana filem Sheriff malam tadi.

Sementara itu, Yusof memaklumkan dia dan isteri terbuka hati sekiranya Puteri Sarah memilih untuk berkahwin lain di masa yang akan datang.

"Bagi saya itu jodoh dia. Kalau Syamsul pun ada jodoh dia (yang lain), Sarah juga ada jodoh dia. Apa yang berlaku semuanya adalah ketentuan Allah SWT. 

"Kami reda dan kita bukanlah nak buang Sarah kalau dia kahwin lain ke, tidak. Dia pun masih boleh beraya bersama kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 1:18 PM