Yusof (kiri) pada pelancaran mural Polis Evo 3
Yusof (kiri) pada pelancaran mural Polis Evo 3
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Puteri Sarah hantar anaknya pada Sabtu. Saya main dengan cucu saya dan anak Syafiq.

"Anak-anak dia main dengan anak-anak Syafiq juga. Bergurau senda dan mandi kolam renang sama-sama. Alhamdulillah...saya sebagai datuk mereka memang nak gembirakan cucu-cucu saya."

Demikian kata pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam, 69, bercerita kehidupannya sekarang selepas isu rumah tangga anaknya, Syamsul dan menantunya selesai baru-baru ini.

Yusof berkata, dia bersyukur mereka berpisah cara baik dan ia turut melegakan isterinya, Datin Patimah Ismail.

"Masing-masing ada kehidupan sendiri. Apa sekalipun hubungan kekeluargaan, hubungan dengan anak-anak jangan terputus. Itu sahaja. Wang bukan segala-galanya.

"Bagi saya kasih sayang, hubungan antara kita lebih penting dari wang ringgit. Itu yang saya maksudkan. Saya doakan Puteri Sarah mudah-mudahan dia berjaya dalam kehidupan.

"Hubungan kami dengan dia tetap berjalan baik. Saya pun tetap akrab dengan besan saya. Kami keluar makan-makan sama macam biasa," katanya ditemui pada pelancaran mural filem Polis Evo 3 di Jalan Kemunting, Dang Wangi, semalam.

Menurutnya, mereka juga tidak kisah sekiranya Puteri Sarah bertemu jodoh lain demi kebahagiaannya.

"Kehidupan ini ujian, rumah tangga juga ujian. Kalau nak kata tak bergaduh kita tetap bergaduh. Kita dan isteri tak sempurna.

"Kalau Puteri Sarah jumpa jodoh lain itu kerja Allah. Namun kalau Tuhan izinkan mereka bersatu semula. Alhamdulillah...

"Tapi kalau mereka tak kembali dan jumpa lelaki lain, itu adalah untuk kebahagiaan. Sebab manusia masing-masing mencari kebahagiaan," katanya.

Terdahulu, Syamsul, 39, dan Puteri Sarah Liyana, 38, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 2:59 PM