Didie Alias. FOTO Instagram
Didie Alias. FOTO Instagram
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Kadang-kadang yang pengikut ramai di media sosial pun tak boleh berlakon. Ini ada yang masuk set, nak kita ajar berlakon," kata pelakon senior, Didie Alias mengulas pertanyaan mengenai desakan stesen TV yang mahukan artis dengan jumlah pengikut sekurang-kurangnya sejuta untuk berlakon.

Didie ketika dihubungi berkata, dia sendiri pernah berdepan situasi di mana perlu mengajar pelakon lain berlakon ketika sudah berada di lokasi penggambaran.

"Saya dah banyak kali 'kena' benda begini. Mahu atau tidak, terpaksa jugalah kita bantu ajar mana yang perlu. Kalau tak, yang susah adalah kita sendiri juga. Susah kalau gandingan kita tak 'memberi' saat melantunkan dialog dan beraksi di depan kamera," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia tidak berniat untuk menidakkan kehadiran pelakon-pelakon baru, namun dia mahu bakat-bakat generasi baru ini kekal relevan kerana bakat dan bukan jumpa pengikut semata-mata.

"Kami orang-orang lama ini bukan semuanya naik dari media sosial sebab tak ada pun media sosial pada era kami. Instagram saya pun tak sampai sejuta pengikut. Alhamdulillah, kami masih boleh bertahan sebab kami 'lontarkan' bakat yang kami ada," katanya.

Menurutnya, jasa pelakon-pelakon lama juga perlu dilihat dan dihargai setiap kali sesuatu karya mendapat perhatian.

"Tanpa orang lama, tak ada orang baru. Kebanyakan karya yang 'trending' atau 'meletup' pun kerana adanya pelakon-pelakon lama di dalam karya itu juga," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan keputusan stesen TV berasaskan penstriman yang menetapkan syarat pelakon yang ingin muncul dalam saluran itu perlulah mempunyai jumlah pengikut atau 'followers' lebih sejuta di Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 5:57 PM