WAWA kembali selepas lima tahun tidak berlakon.
WAWA kembali selepas lima tahun tidak berlakon.
Sudirman Mohd Tahir


FILEM Sabda Kekasih yang ditayangkan di saluran Astro First 480 sejak 24 Jun lalu mencatat sejarah tersendiri apabila berada di tangga teratas carta Trending Twitter.

Lebih manis apabila filem sulung terbitan pasangan selebriti suami isteri, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal di bawah syarikat Respected Citizen Production Sdn Bhd itu trending dalam tempoh kurang 24 jam selepas ia ditayangkan.

Wawa, 30, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkata, usaha dan kerja keras bersama pasukan berbaloi biarpun terpaksa menjalani penggambaran lebih 24 jam untuk satu-satu babak penting.

"Alhamdulillah hari pertama tayangan filem Sabda Kekasih sudah trending. Begitu juga hari seterusnya riuh di Twitter penonton bercakap mengenai filem ini. Terima kasih banyak atas sokongan semua.

"Selepas lima tahun tidak berlakon, saya berasa sangat dihargai menerusi komen dan maklum balas diberikan. Saya menangis membaca satu persatu respons yang diberikan untuk filem sulung saya dan suami.

"Kepada pengarah, Azhari Zain dan seluruh pasukan filem ini tidak sia-sia menjalani penggambaran sampai jam 6 pagi keesokan harinya. Walaupun masing-masing sudah penat dan mata 'rabak', demi tanggungjawab semua, kami dapat lakukan," katanya.

Berkongsi mengenai kemunculan semula dirinya dalam bidang lakonan, Wawa berkata, ia memberikan cabaran tersendiri apatah lagi watak Kasih Murni yang dilakonkan hampir 80 peratus membabitkan watak menangis.

"Sebenarnya, saya tak boleh nak fikir perkara yang pahit untuk menangis. Macam saya tak tahu nak fikir apa yang menyedihkan dalam hidup. Sebab saya tidaklah ada sangat kehidupan yang sedih. Jadi, apa saya cuba buat adalah saya betul-betul ada dalam watak itu.

"Lagipun, apabila bergandingan dengan Ibu Fauziah Nawi yang menjadi mak saya dalam filem ini, ia memberikan saya semangat untuk buat yang terbaik juga. Alhamdulillah, ibu, Abang Sabri Yunus, Sharifah Husna, semua okey. Dapat keserasian dengan senang.

"Sejujurnya saya yang sudah lama tidak berlakon, tapi apabila digandingkan dengan pelakon hebat, saya dapat aura itu, saya pun menjadi okey. Pelakon hebat itu termasuk suami, Aeril," katanya.

GANDINGAN Aeril bersama Wawa sebagai pasangan kekasih dalam filem Sabda Kekasih.
GANDINGAN Aeril bersama Wawa sebagai pasangan kekasih dalam filem Sabda Kekasih.

Ditanya adakah dengan kemunculannya dalam filem itu memberi petanda dia bakal kembali aktif berlakon, Wawa yang ibu kepada tiga cahaya mata tidak mahu memberi sebarang jaminan.

"Kalau perlukan masa panjang dua hingga tiga bulan, mungkin tidak. Maksimum saya boleh bekerja dalam satu-satu projek adalah dalam sebulan lebih. Apabila usia sudah meningkat ini tak larat nak menjalani penggambaran dalam tempoh lama dan balik lewat malam. Kalau zaman remaja dulu mungkin boleh lagi.

"Diakui sepanjang lima tahun tak berlakon ada saja tawaran yang datang, malah sampai sekarang. Tapi itulah, komitmen yang diperlukan dari segi masa adalah panjang. Jadi, saya memang tak boleh nak buat. Lagipun, saya ada urusan lain iaitu perniagaan yang perlu diberi tumpuan penuh juga.

"Filem ini menjalani penggambaran selama 10 hari saja. Kalau ada tawaran menarik dan komitmen masa pun tak panjang, contoh telefilem, insya-Allah boleh saja buat," katanya.

LAKONAN mantap Fauziah Nawi.
LAKONAN mantap Fauziah Nawi.

Berkongsi mengenai pemilihan pelakon baharu, Sharifah Husna yang melakonkan watak Hayla Sofia, Wawa bersyukur kerana mendapat kerjasama yang bagus.

"Apabila ramai pelakon menolak untuk watak ini, saya dan Aeril okey saja. Cuma agak mencabar ketika itu sebab kami hubungi ramai pelakon popular perempuan, tapi tak dapat.

"Mungkin mereka tak kenal nama syarikat produksi kami yang masih baharu ini dan jadi pelakon pembantu saya pula, memang tak mahulah. Namun, semua itu ada hikmah apabila kami berpeluang berlakon dengan Husna.

"Husna sangat bagus dan kami sangat berpuas hati dengan lakonan serta komitmennya. Dia pun seorang yang rajin mempromosikan filem ini" katanya.

FAUZIAH sebagai ibu Wawa dalam Sabda Kekasih.
FAUZIAH sebagai ibu Wawa dalam Sabda Kekasih.

Sabda Kekasih adalah filem yang memaparkan kisah romantik tragedi yang bermula dengan kisah seorang pemuzik jalanan bernama Bukhari yang mengubah kejahilan dirinya hanya kerana cinta seorang gadis iaitu Kasih Murni.

Namun berlaku tragedi yang tidak diingini pada hari pertunangan mereka yang menyebabkan kesengsaraan yang dialami pasangan kekasih ini.

Kos penerbitan filem arahan Azhari Zain itu mencecah RM1 juta termasuk kos promosi dan pemasaran.

Selain Aeril dan Wawa, filem yang menjalani penggambaran di Bentong, Pahang dan Sendayan, Negeri Sembilan, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 6:30 AM