DAYANG Nurfaizah. FOTO arkib NSTP
DAYANG Nurfaizah. FOTO arkib NSTP

Oleh Zaara Talita

[email protected]

Foto Shahril Badri

Kuala Lumpur : Sering dilihat menjayakan persembahan di majlis resepsi perkahwinan dianggap satu kebetulan oleh Dayang Nurfaizah.

Dayang berkata, dia bersyukur apabila kerap menerima undangan memeriahkan hari bahagia pasangan merpati dua sejoli.

"Saya menganggap ini semua sebagai kebetulan saja. Bagi saya, selagi ada yang ingin mendengar dan menjemput, saya cuba sebaik mungkin untuk memenuhi jemputan itu.

"Jika ada kelapangan, saya cuba sebaik mungkin untuk menjayakan hari bahagia mereka. Malah, saya menganggap jemputan dan undangan ini sebagai rezeki.

"Walaupun sebenarnya saya hairan juga kerana kebanyakan lagu-lagu saya adalah lagu kecewa. Namun masih ada yang mengundang saya," katanya.

Dalam pada itu, Dayang bersyukur pelancaran albumnya berjudul Belagu yang boleh dinyanyikan di acara perkahwinan.

"Dulu saya sering membawakan lagu Lelaki Teragung, namun agak hairan apabila diminta menyanyikan lagu Di Pintu Syurga dan Seandainya Masih Ada Cinta kerana itu lagu sedih.

"Syukur saya tampil dengan album Belagu dan sesuai pula ramai yang menginginkan perkahwinan berkonsepkan tradisional. Antara lagu yang saya bawakan adalah Ketipang Payung dan Umpan Jinak Di Air Tenang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dayang bakal menjayakan Konsert By Ajai & Mega Friends yang bakal berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 3 Ogos depan.

Untuk konsert berdurasi lebih dua jam itu, Dayang akan menyanyikan dua lagu termasuk Seandainya Masih Ada Cinta, sekali gus mengembalikan memori kemunculan awalnya dalam industri muzik.

Selain Dayang, konsert itu turut menampilkan Aina Abdul, Hazama, Hafiz Suip dan Aufahanie, manakala komposer Sharon Paul bertindak sebagai pengarah muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 2:05 PM