USTAZ Kazim tampil menerusi program Apa Cerita Kome.
USTAZ Kazim tampil menerusi program Apa Cerita Kome.
Ridzuan Abdul Rahman

TAHUN lalu stesen TV AlHijrah mencatat 6.4 juta tontonan sepanjang Ramadan. Justeru, tahun ini stesen terbabit menyasarkan peningkatan tontonan sebanyak 10 peratus iaitu melonjak kepada tujuh juta tontonan sepanjang Ramadan ini.

Pelbagai program menarik turut disusun antaranya ialah tayangan filem Imam iaitu filem tempatan yang diterbitkan pada 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, stesen televisyen itu akan menyiarkan 22 rancangan istimewa buat penonton.

Menurut beliau, antara yang menarik adalah Apa Cerita Kome bersama Ustaz Datuk Mohd Kazim Elias, Ihya Ramadan tajaan aplikasi Digital Khair oleh Qudwah Technology dan Ibrah Ramadan.

"Turut dibawakan adalah Camca, Sembang Moreh, Peristiwa Ramadan, Ayat Riwayat Risalah Anbiya selain satu program 'branded content' iaitu Ehsan.

"Sebanyak 308.5 jam diperuntukkan untuk menayangkan semua rancangan ini dengan peningkatan 17.8 peratus jam siaran berbanding tahun lalu," katanya pada Pelancaran Program Ramadan Mentadabbur Keindahan TV AlHijrah di perkarangan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Turut hadir, Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Menurutnya, TV AlHijrah juga buat pertama kali menyiarkan drama bersiri Arab yang memaparkan kisah perjalanan hidup seorang daripada empat tokoh imam mujtahid masyhur yang membangunkan empat mazhab fiqah terbesar dalam Islam iaitu Imam Al-Syafie.

"Drama berjudul Risalah Imam Al-Syafie ini disiarkan sebanyak 30 episod siaran setiap hari jam 6 petang selain dua filem terbaik Ramadan yang akan ditayangkan adalah Imam dan Perjalanan Pertama.

"Filem Imam arahan Mior Hashim Manap merupakan adaptasi novel bertajuk sama oleh novelis, Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

"Kami mahu mendekati penonton baharu dengan segmen filem dan drama di mana program agama tidak terhad kepada kuliah, forum dan tazkirah semata-mata.

"Filem dan drama juga adalah salah satu bentuk wahana dakwah yang berkesan apabila diolah dengan baik dan ini adalah sebahagian perjuangan stesen TV ini dalam nuansa dakwah penyiaran," katanya.

Dr Mohd Na'im berkata, tema 'Ramadan Mentadabbur Keindahan' diperkenalkan bertujuan memanfaatkan Ramadan sebagai bulan yang berkat untuk mentadabbur keindahan yang Allah ganjarkan kepada hamba-Nya yang berpegang kepada ajaran al-Quran.

"Maka itu penonton perlu cakna dan mengambil tahu isu kemanusiaan serta kasih sayang dalam usaha untuk terus menyebarkan keindahan dalam kehidupan. Alhamdulillah, berkat kerja kuat dan kesungguhan seluruh warganya, stesen ini terus mendapat kepercayaan rakyat.

"Justeru dalam memastikan anak-anak muda digerakkan

supaya memahami dan menghayati al-Quran, stesen ini juga memperuntukkan 141 jam siaran bagi menyiarkan empat rancangan istimewa bernadakan kalam suci Ilahi. Antara rancangan terbabit ialah Syahadah al-Furqan, Khatam Ramadan, Tadarus al-Quran@114 dan Kapsul Taranum Challenge," katanya.

Sementara itu, Namanzee berkata, buat pertama kali juga, pihaknya bekerjasama dengan syarikat Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dilihat mampu menarik lebih ramai penonton menyaksikan stesen terbabit.

"Kami adalah stesen media pertama yang bekerjasama dengan ETS KTM dan meletakkan TV AlHijrah dalam tren. Kalau dilihat ETS sekarang mendapat tempat semula oleh pengguna dan jumlah pengguna juga meningkat seperti laporan yang diterima.

"Kerjasama selama setahun ini dapat mempromosikan stesen TV ini kepada orang ramai, sekali gus sebagai salah satu medium dakwah dan harapnya dapat memberi manfaat kepada penggunanya. Akan ada juga beberapa program yang membabitkan ETS tren sepanjang Ramadan dan bulan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 6:20 AM