LEBIH dua tahun mengacarakan Music Core. - FOTO Google
LEBIH dua tahun mengacarakan Music Core. - FOTO Google
HM Digital

SELEPAS lebih dua tahun mengacarakan program terkenal Music Core, penyanyi Chani memutuskan untuk mengundur diri. Dalam program itu dia turut bergandingan dengan Kang Mina, Hyunjin (Stray Kids) dan Kim Min Ju.

Bagaimanapun, dia tidak mahu meneruskan lagi khidmatnya meskipun dia mendapat pujian menerusi kualiti pengacaraannya. Kemahiran mengacara jelas semakin bertambah baik dari semasa ke semasa.

Menjelaskan mengenai pengunduran terbabit, Chani tidak mendedahkan alasan utamanya. Penyanyi itu cuma menyatakan rasa syukurnya apabila diberi peluang dan pengalaman yang cukup berharga itu.

"Saya banyak belajar dan sedar perkara baharu dalam tempoh lebih dua tahun bersama Music Core. Sejujurnya, saya sangat bersyukur dengan keseluruhan pasukan produksi yang sangat menghargai pembabitan saya.

"Begitu juga dengan hos lain yang bekerja dengan saya serta penonton setia Music Core. Meskipun sedikit sedih kerana meninggalkannya, saya berjanji akan terus menunjukkan penambahbaikkan dalam diri di mana pun saya pergi," katanya.

Episod terakhir membabitkan penyanyi itu akan ke udara pada esok. Music Core juga tidak disiarkan selama tiga minggu bermula 24 Julai ini sehingga 7 Ogos depan bagi memberi laluan kepada liputan Olimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 6:30 AM