AZMIR Saifuddin Mutalib bercakap pada program bual bicara anjuran Profima sempena Hari KRU Filem 2024 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. FOTO Sadiq Sani
AZMIR Saifuddin Mutalib bercakap pada program bual bicara anjuran Profima sempena Hari KRU Filem 2024 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. FOTO Sadiq Sani
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib mengumumkan, akan melaksanakan kontrak standard yang akan menyenaraikan beberapa klausa manfaat kepada kru produksi, dalam tahun ini.

Azmir berkata demikian ketika ditemui pada sesi bual bicara anjuran Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dengan kerjasama Finas yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.

Menurutnya, proses perbincangan untuk kontrak standard itu kini berada di peringkat terakhir.

"Kontrak standard ini memang sudah dibincangkan di peringkat atasan lebih kurang setahun dua. Insya-Allah, dalam tahun ini kita boleh laksanakan. 

"Dalam kontrak standard itu, akan ada klausa seperti tangga gaji, tempoh waktu bekerja sehari dan juga insurans serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), supaya pekerja-pekerja akan terlindung.

"Jadi, beberapa perkara utama ini akan termasuk dalam klausa kontrak itu dan ia boleh dipakai oleh semua produksi atau projek yang membabitkan insentif Finas dan juga dalam industri. 

"Sekarang, ia sudah dalam peringkat perbincangan akhir," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Azmir, pihaknya akan terus menguar-uarkan mengenai caruman perlindungan Perkeso memandangkan, masih belum ramai kru produksi memilih untuk mencarum.

"Saya difahamkan oleh pihak Perkeso, lebih kurang 4,000 pekerja sahaja yang mencarum. Kalau kita ambil daripada segi keahlian semua persatuan, ada lebih kurang 25,000 pekerja belakang tabir dan sebagainya. 

"Masih lagi banyak yang perlu diuar-uarkan kepada industri supaya mereka tahu betapa pentingnya caruman itu. 

"Pihak Perkeso ada pelbagai insentif baharu. Kalau tak salah saya, antaranya, caruman RM25 setahun, untuk perlindungan. Jadi, memang ia program yang disubsidikan oleh kerajaan. 

"Jadi, kadang-kadang, perkara itu tidak diketahui oleh orang-orang industri, jadi, di sinilah Finas dan Perkeso akan buat siri jelajah dalam masa terdekat," katanya.

Azmir juga akan mengadakan perbincangan dengan organisasi lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk program-program lain yang akan membawa manfaat kepada kru produksi.

"Bila mencarum itu, banyak manfaat daripada Perkeso. Seperti yang saya maklumkan, Perkeso juga ada insentif latihan jika seseorang itu tidak mendapat pekerjaan atau kehilangan pekerjaan. 

"Inilah manfaat yang pencarum akan dapat. Saya juga akan berbincang dengan pihak KWSP dan lain-lain, dari segi manfaat kepada industri kru ini," katanya.

Sesi bual bicara itu berlangsung bersempena sambutan Hari Kru Filem Malaysia 2024 yang diadakan untuk tahun kedua.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 2:43 PM