SHUIB ditemani isteri. FOTO arkib NSTP
SHUIB ditemani isteri. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur : Pelawak yang juga usahawan, Shuib, 39, memohon mana-mana individu agar menghentikan sebarang spekulasi atau sebaran fitnah yang tidak berasas berkaitan syarikatnya, Bubblebee dengan isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menerusi akaun Instagram miliknya, Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhammad berkongsi kenyataan rasmi  dikeluarkan oleh jabatan penasihat undang-undang syarikatnya yang memaklumkan isu terbabit sudah pun selesai pada awal tahun ini.

"Bubblebee ingin menerangkan perkembangan terkini mengenai isu-isu berkaitan dengan tunggakan caruman KWSP seperti berikut dan kami ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul.

"Untuk pengetahuan semua, pihak Bubblebee sudah mengadakan perbincangan dengan KWSP secara formal.  Kedua-dua pihak berjaya mencapai satu perjanjian penyelesaian yang sempurna di hadapan Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya, Selangor pada awal tahun ini (2024).

"Seterusnya, pihak Bubblebee akan mematuhi dan melaksanakan kesemua kewajipannya selaras dengan terma-terma penyelesaian yang sudah dipersetujui," kata kenyataan itu.

Susulan itu juga, pihak Bubblebee menyifatkan isu terbabit tidak perlu lagi dipertikaikan dan memberitahu tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada pihak berniat jahat.

"Bubblebee juga menyatakan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan atau tuduhan tidak benar dan berniat jahat terhadap pihak Bubblebee mengenai isu-isu terbabit," katanya.

Bubblebee juga bersyukur terus mendapat sokongan ramai terhadap perniagaan berkenaan. Malah, syarikat itu berjanji mahu terus maju berkembang untuk meluaskan jenamanya. 

"Bubblebee mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan berterusan selama ini selaku sebuah jenama tempatan Malaysia yang berhasrat dan berusaha menempa nama di peringkat antarabangsa," katanya.

Terdahulu, kenyataan terbabit dikeluarkan Ketua Penasihat Undang-Undang, Lembaga Pengarah Bubblebee Sdn Bhd, Ko Hsiao Ping.

Sebelum ini, tular di laman TikTok apabila seorang individu mendakwa syarikat Bubblebee tidak membayar caruman KWSP pekerja sejak awal tahun 2023.

Bagaimanapun, Shuib kemudiannya mengadakan sidang media bagi menjelaskan perkara terbabit dan meluahkan rasa syukur selepas isu caruman KWSP pekerjanya itu berjaya diselesaikan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 5:06 PM