Penyanyi Indonesia, Mahalini Raharja. Foto Hazreen Mohamad
Penyanyi Indonesia, Mahalini Raharja. Foto Hazreen Mohamad
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi Indonesia, Mahalini meluahkan hasrat terbuka untuk menyumbang karyanya buat mustika hati rakyat Malaysia iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Mahalini atau pemilik nama penuh, Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja bersedia untuk menerokai bidang penghasilan muzik dan sangat berbesar hati sekiranya hasratnya itu menjadi kenyataan satu hari nanti.

"Jika bercerita mengenai penyanyi yang saya minati semestinya Datuk Siti. Namanya bukan saja besar di Malaysia, malah dia merupakan penyanyi yang dikenali di Indonesia dan menjadi fenomena di sana.

"Saya mengalu-alu dan terbuka tetapi Datuk Siti mahukah? Kalau tanya saya sudah tentu saya mahu. Namun adakah beliau sudi untuk menerima lagu saya?

"Beliau memberikan erti peribadi buat saya kerana ketika awal-awal kemunculan dahulu, saya pernah bawakan lagu Datuk Siti di televisyen dan memang banyaklah namanya terdengar di mana-mana," katanya.

Mahalini berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Mahalini Lovechestra bertempat di The Roomah, Publika baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai Lovechestra Mahalini anjuran Kharisma Music International itu, konsert berkenaan turut menampilkan tunangnya, Rizky sebagai penyanyi jemputan.

Tiket menyaksikan konsert itu dijual dari harga RM279 hingga RM799.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 1:38 PM