HAESOO
HAESOO
MOONBIN
MOONBIN
LEE Sun Kyun
LEE Sun Kyun
Suhaila Khairie

Kadar kematian akibat bunuh diri dalam kalangan generasi muda di Korea Selatan membimbangkan, malah tindakan ini tidak terkecuali dalam golongan selebriti.

Tahun 2023 menyaksikan beberapa selebriti terkenal yang menamatkan riwayat menerusi cara ini. Keputusan mereka pastinya meninggalkan kesan mendalam terutama kepada peminat di seluruh dunia.

Antaranya, pelakon, Jung Chae Yul yang ditemui mati di rumahnya pada 11 April lalu dan disahkan sendiri oleh agensinya, Management S tanpa mendedahkan butiran kematian.

Pelakon berusia 26 tahun itu terkenal menerusi wataknya sebagai anggota polis dalam siri komedi fantasi 2020 iaitu Zombie Detective yang ditayangkan di stesen televisyen KBS dan di peringkat antarabangsa dalam platform penstriman dalam talian, Netflix.

Walaupun punca kematian tidak diumumkan, namun spekulasi kematiannya yang disyaki berpunca akibat bunuh diri tidak dapat dielakkan.

Malah, berita ini lebih mengejutkan peminatnya kerana Chae Yul masih aktif di media sosial dan baru saja memuat naik satu hantaran di Instagram tiga hari sebelum itu.

Pada masa kematiannya, pelakon itu masih dalam proses penggambaran sebagai watak utama dalam Wedding Impossible iaitu sebuah drama bersiri yang diadaptasi daripada novel web.

Bulan yang sama juga menyaksikan anggota kumpulan muzik terkenal Astro, Moonbin yang ditemui tidak sedarkan diri oleh pengurusnya di kediamannya pada 19 April lalu.

Berita duka kematian penyanyi berusia 25 tahun itu disahkan oleh Balai Polis Gangnam dan disusuli kenyataan rasmi daripada agensinya, Fantagio tetapi tidak mendedahkan punca sebenar kematiannya.

Namun, menurut kenyataan polis, penyanyi berkenaan disyaki mengambil nyawanya sendiri dan polis juga masih membincangkan kemungkinan daripada hasil bedah siasat bagi menentukan punca kematian yang tepat.

Sebelum kematiannya, Moonbin dan seorang lagi anggota kumpulan Astro sudah ditetapkan untuk membuat persembahan di Dream Concert pada bulan Mei.

Beberapa minggu selepas perkhabaran berita duka itu, dunia hiburan Korea Selatan sekali dikejutkan dengan berita kematian penyanyi trot, Haesoo yang dipercayai membunuh diri.

HAESOO
HAESOO

Menurut kenyataan pihak polis yang dikeluarkan pada 13 Mei, penyanyi trot yang berusia 29 tahun itu ditemui mati di kediamannya pada 12 Mei.

Mereka turut menemui sepucuk surat yang dipercayai nota bunuh diri di tempat kejadian tetapi kandungannya masih belum didedahkan kepada media sehingga kini.

Pada 15 Mei, polis mengesahkan identiti mayat yang ditemui adalah Haesoo. Dia juga sepatutnya membuat persembahan di sebuah acara pada 20 Mei sebelum kematiannya mengejutkan peminatnya.

Dilahirkan pada 1993, Haesoo membuat kemunculan pertamanya sebagai penyanyi trot pada 2019 dan baru-baru ini muncul di rancangan KBS 2TV dan rancangan aneka ragam Boss in the Mirror.

Terbaru, pelakon sensasi filem Parasite, Lee Sun-kyun yang sedang disiasat atas penggunaan dadah ditemukan meninggal dunia dipercayai membunuh diri selepas mayatnya ditemui di tempat letak kereta, Khamis lalu.

Berita kematian pelakon berusia 48 tahun itu disahkan Balai Polis Seongbuk, Seoul selepas menerima panggilan daripada isterinya, Jeon Hye Jin yang melaporkan suaminya ada meninggalkan nota bunuh diri sebelum menghilangkan diri.

Polis turut menjumpai arang di tempat duduk penumpang kereta Sun Kyun, sekali gus mengukuhkan dakwaan bahawa pelakon itu meninggal dunia akibat bunuh diri.

LEE Sun Kyun
LEE Sun Kyun

Sebelum ini, kecoh di negara itu kes membabitkan pelakon itu yang dikatakan terbabit dalam penyalahgunaan dadah marijuana di sebuah kelab malam, namun dia mendakwa diperdaya dan dia tidak mengetahui apa yang diambil.

Sun Kyun menempa populariti selepas filem Parasite yang menampilkannya sebagai watak utama dan mencipta sejarah menang empat kategori di Academy Awards pada 2020 termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Menurut data Kementerian Kesihatan dan Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit, kadar bunuh diri dalam kalangan generasi muda di Korea Selatan menyaksikan peningkatan, dengan seramai 39,453 golongan belia maut akibat membunuh diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 9:16 AM