RAMAI anggap penderaan mental dan fizikal oleh teman lelaki antara punca Hara bunuh diri.
RAMAI anggap penderaan mental dan fizikal oleh teman lelaki antara punca Hara bunuh diri.
Oleh Ardini Sophia Sina


PERNAH berhadapan masalah kemurungan, tiada siapa menyangka bintang terkenal Korea Selatan, Goo Hara memilih menamatkan sendiri riwayat hidupnya pada usia 28 tahun.

Mei lalu, bekas anggota kumpulan Kara itu pernah melakukan cubaan bunuh diri, namun diselamatkan oleh pengurusnya.

Dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan rumah dipenuhi asap. Selepas kejadian itu, Hara kembali menjalani kehidupannya sebagai selebriti. Malahan, dia juga melancarkan single Midnight Queen pada awal bulan ini dan berjanji untuk kembali pulih.

Namun, siapa sangka senyuman dan lambaian mesra yang dilemparkan itu hanya sekadar menutup gelora sebenar di jiwanya. Sama seperti rakan baiknya, Sulli yang juga mati kerana bunuh diri, kedua-dua mereka adalah mangsa buli siber.

Hara yang turut mencipta kerjaya solo di Jepun tidak terlepas daripada kutukan dan cacian. Oktober tahun lalu, keadaannya bertambah teruk apabila bekas teman lelakinya, Choi Jong-bum memecah masuk rumah, menyerang dan mengugutnya untuk menyebarkan gambar seks mereka.

Disebabkan kejadian itu dan beberapa isu lain, dia mengalami kemurungan dalam tempoh yang panjang menyebabkan cubaan bunuh diri penghujung Mei lalu.

Walaupun disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara setahun setengah serta tiga tahun berkelakuan baik, hukuman berkenaan hanya dibuat andai dalam tempoh tiga tahun Jong-bum mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun, ia menjadi titik permulaan Hara menerima lebih banyak kecaman di media sosial secara berterusan hinggalah pada hari sebelum mayatnya dijumpai pada Ahad lalu.

Akaun Instagram miliknya penuh komen berbaur kutukan mengenai penampilannya dan mengungkit kembali cerita membabitkan bekas teman lelakinya.

Seorang wanita menggunakan nama Jihye Lee menerusi Twitter berkata, sohor kini (trending) yang tertinggi di Korea adalah #punishchoijongbum (hukum Choi Jong-bum). Ramai wanita menyertai kempen berkenaan bagi membantu menegakkan keadilan buat mendiang Hara.

Katanya, selebriti wanita di Korea Selatan menghadapi kesukaran untuk melaporkan sebarang jenayah seksual kerana tiada seorang pun akan berpihak kepada mereka termasuk sistem perundangan, polis dan orang awam.

Ramai beranggapan, antara punca utama penyanyi dan pelakon membunuh itu diri adalah disebabkan penderaan mental serta fizikal yang dikatakan dilakukan oleh bekas teman lelakinya.

Menurut laporan, Jong-bum menyerang Hara ketika dia tidur di kediamannya. Wanita itu bagaimanapun tidak hanya mendiamkan diri sebaliknya menyerang balas demi mempertahankan diri. Kecederaan yang dialami Hara akibat serangan juga sangat teruk hingga mengalami koyakan pada kemaluannya.

Jong-bum pula turut cedera pada wajah akibat serangan balas. Berang dengan tindakan Hara, Jong-bum kemudian mengugut untuk menyebarkan video seks mereka di media sosial dan mengatakan rakaman itu bakal memusnahkan karier Hara sebagai selebriti.

Sehari sebelum mayatnya ditemui, mendiang berkongsi gambarnya berbaring di katil dengan kapsyen ‘selamat malam’. Peminat menganggap ia sebagai mesej terakhir yang menunjukkan dia akan ‘berehat’ buat selama-lamanya.

HARA alami kemurungan berpanjangan.
HARA alami kemurungan berpanjangan.

Hasil pemeriksaan polis mendapati sekeping memo dengan mesej pesimis pada sebuah meja, namun mereka enggan mendedahkan kandungan yang tertulis pada kertas berkenaan.

Pemergian Hara turut ditangisi peminat dan rakan artis. Antara selebriti yang terkesan dengan pemergian mendiang ialah Jung Jae Hyung, TOP, Seungjin (A-Jax), Nam Tae Hyun, Park Min Young, DinDin serta Han Ye-seul.

Masalah kemurungan dan buli siber tidak seharusnya menjadi bahan gurauan dan dianggap perkara biasa. Pada masa kini, ia perlu diberikan perhatian apatah lagi masyarakat menjadikan media sosial sebagai medium menyuarakan rasa tidak puas hati kononnya atas dasar kebebasan bersuara.

Ramai tidak sedar, kata-kata kesat yang ditinggalkan di media sosial itu mungkin mengguris perasaan dan menyebabkan individu berkenaan membunuh diri.

Mungkin ada antara masyarakat kita yang menyalahkan individu berkenaan apabila memilih bunuh diri kerana kurangnya ilmu agama, namun perlu diingati, kutukan dan cacian yang ditulis hingga mendorong mereka bertindak sedemikian juga mencerminkan ceteknya ilmu agama seseorang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 5:30 AM