GEJALA berkait rapat kejadian bunuh diri kian menular dalam kalangan remaja.
GEJALA berkait rapat kejadian bunuh diri kian menular dalam kalangan remaja.
Aida Adilah Mat


RASANYA ramai masih ingat kisah seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang cuba terjun dari tingkat 19 di sebuah pangsapuri di Larkin selepas bertengkar dengan ibunya yang dipercayai kerana isu telefon.

Terbaharu, pelakon dan penyanyi popular Korea Selatan, Choi Jin-ria yang dikenali sebagai Sulli, 25, membunuh diri kerana tertekan dengan kecaman netizen.

Peristiwa itu menunjukkan betapa masalah tekanan jika tidak ditangani sewajarnya akan membawa ke arah membunuh diri.

Pegawai Psikologi Bahagian Kaunseling dan Psikologi Universiti Malaysia Pahang (UMP), Paridah Mohd Ali berkata, paparan di media sosial berkaitan kes berkaitan bunuh diri atau cubaan bunuh diri sudah cukup menunjukkan ada isyarat daripada anak muda kita bahawa jiwa mereka sedang bergolak.

Trend bunuh diri dan tindakan mencederakan diri dengan sengaja sudah menjadi satu fenomena yang bukan saja membabitkan golongan dewasa malahan semakin menular dalam kalangan remaja.

Malah gejala bunuh diri bukanlah diagnosis penyakit meskipun berkait rapat dengan kemurungan. Krisis kehidupan terutama yang berlaku dalam keluarga seperti kehilangan insan tersayang, perceraian ibu bapa, menghidap penyakit kronik dan buli membuatkan mereka terdesak mengambil pendekatan cuba menamatkan hidup.

Beliau berkata, sedar atau tidak kepesatan teknologi membuatkan anak muda zaman ini lebih suka menyuarakan isu mereka di ruang media sosial berbanding bersemuka dengan orang yang boleh mendengar dan memberi bantuan yang diperlukan.

“Anak muda sekarang berasa lebih selamat dan selesa dengan media sosial. Lambakan status di Twitter, Facebook, Instagram mahupun blog dengan tanda pagar #murung atau #rasa ingin mati adalah bukti mereka tidak mampu lagi menghadapinya sendirian, tetapi masih malu untuk tampil berdepan meminta bantuan daripada pihak berkaitan.

“Stigma masyarakat masih menebal apabila mengaitkan kemurungan dengan penyakit gila sedangkan ia penyakit mental yang perlu dirawat segera sebelum menjadi lebih parah sehingga mahu membunuh diri,” katanya.

KANAK-KANAK turut berdepan risiko mengalami tekanan.
KANAK-KANAK turut berdepan risiko mengalami tekanan.

Peningkatan kes bunuh diri

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bunuh diri antara 10 punca utama kematian di dunia dan menjadi penyebab kedua kematian bagi mereka berusia 15 hingga 29 tahun.

Bagi setiap nyawa yang terkorban dianggarkan 20 ahli keluarga atau rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.

Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2017 mendapati tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan.

Prevalen idea ingin bunuh diri adalah 10 peratus pada 2017 berbanding 7.9 peratus pada 2012. Prevalen membuat perancangan untuk bunuh diri adalah 7.3 peratus (2017) berbanding 6.4 peratus (2012). Cubaan bunuh diri pula adalah 6.9 peratus (2017) berbanding 6.8 peratus (2012).

Bagi 10 hingga 40 kes cubaan bunuh diri yang tidak berjaya, ada satu kes yang berjaya. Pada 6 Januari 2011, sebuah akhbar bahasa Inggeris tempatan melaporkan hampir 60 orang berfikir setiap hari berkaitan rancangan membunuh diri.

Lebih menarik, WHO memberikan fakta bahawa kemurungan adalah punca utama masalah kesihatan dan bunuh diri punca kematian utama selepas kemalangan jalan raya untuk golongan berumur 10 tahun hingga 19 tahun. Maka merawat kemurungan boleh membantu mengurangkan kes bunuh diri.

BERIADAH antara aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan.
BERIADAH antara aktiviti yang boleh mengurangkan tekanan.

Terapi hubungan keluarga

Gaya komunikasi dalam keluarga dilihat sebagai satu aspek penting yang boleh menangani isu ini. Sentuhan seperti ciuman dan pelukan kepada anak sebenarnya menjadi satu terapi kerana tahu mereka disayangi dan dihargai ibu bapa.

Rangsangan ini sebenarnya dapat mengurangkan perasaan terabai dan menggalakkan mereka untuk berani berkongsi perasaan dan isu yang dialami.

Selain itu, kesibukan kerja memenuhi tuntutan hidup menyebabkan masa bersama keluarga agak terbatas. Dalam psikologi, perkembangan ini dinamakan sebagai ‘anak latchkey’ iaitu keterbatasan masa untuk ibu bapa memantau perkembangan anak.

“Carilah masa untuk berehat di rumah mahupun melancong bagi yang mampu. Bagi orang Islam, kaedah paling mudah ialah solat berjemaah bersama ahli keluarga kerana ia dapat mengeratkan hubungan dan mendengar isu yang dihadapi anak remaja.

“Ilmu keibubapaan juga perlu diikuti melalui kelas berbayar dan bukan lagi mengamalkan ilmu yang diwarisi dari orang tua.

“Seperti penyakit lain, mereka yang mengalami tekanan memerlukan masa rehat untuk pemulihan. Sangat penting untuk ahli keluarga memahami penyakit ini dan memainkan peranan masing-masing dalam memudahkan pemulihan,” katanya.

“Ambil berat dengan mendengar luahan mereka. Mungkin kita tidak mampu menyelesaikan isu itu, tetapi meminjamkan telinga kepada mereka sebenarnya sudah memadai bagi meringankan beban yang ditanggung di minda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 4:30 AM