BELL Ngasri
BELL Ngasri
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon, pelawak dan pengacara, Bell Ngasri, 43, mengingatkan bakat baru industri seni agar mengutamakan kesungguhan memberi yang terbaik pada hasil kerja terlebih dulu, berbanding memikirkan populariti dan anugerah. 

 

 

Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri berkata, keikhlasan dan disiplin diri juga menjadi aspek penting yang perlu ada dalam diri apabila melakukan apa saja kerja tanpa mengharapkan imbuhan akan diperoleh.

 

 

"Apa yang sudah saya menang itu (anugerah) adalah nasib dan rezeki yang ditetapkan Allah. Tapi, kepada bakat baharu apa yang boleh saya ingatkan, dalam apa saja kerja buatlah dengan ikhlas,  jaga disiplin dan bersungguh-sungguh.

 

 

'Paling kurang itulah benda-benda yang perlu diutamakan oleh kalian terlebih dulu dan insya-Allah, orang boleh nampak dan boleh menghargainya suatu masa nanti," katanya kepada Harian Metro.

 

 

Bell yang menunggu selama 37 tahun untuk bakat dan dirinya meraih populariti sebagaimana selebriti lain yang mempunyai kelab peminat berkata, dia hanya fokus pada buat kerja tanpa memikirkan anugerah.

 

 

"Jangan cuba fikirkan untuk raih anugerah dan dapatkan sesuatu. Tapi, kita buat saja dulu sesuatu benda itu (kerja) secara bersungguh-sungguh, insyaAllah mungkin akan ada nikmat yang Allah berikan nanti.

 

 

"Apapun, moga-moga semua yang kita buat dengan ikhlas itu orang nampak, dan secara tidak langsung mungkin suatu masa nanti kita akan dihargai," katanya 

 

 

Pada 22 Julai lalu, Bell dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35), selain turut memenangi anugerah Artis Komedi Popular di acara berprestij itu.

 

 

Sebelum itu, Bell dikenali ramai dengan watak Barkoba atau 'geng plastik hitam' dengan tagline 'yak yak yeay' dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa arahan Allahyarham Mamat Khalid.

 

 

Telefilem mengisahkan lelaki yang malas berpuasa itu secara tidak langsung mencetuskan fenomena luar biasa pada seluruh rakyat Malaysia dari Semenanjung sehingga ke Sarawak dan Sabah.

 

 

Pada 1998, difahamkan Bell pernah merangkul anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Skrin TV3 menerusi telefilem Pa'e yang juga dibintangi pelakon Shaheizy Sam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 11:23 PM