Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon, Datuk Mustapha Kamal, 61, bersyukur dengan pencapaian anak sulungnya, Sabella Qawiema, 24, yang berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Itali dan Linguistik, Kelas Pertama di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Mustapha dan isterinya, Datin Susan Manen, 49, bangga kerana Sabella berjaya merealisasikan impian mereka untuk menggenggam ijazah kelas pertama itu.

"Alhamdulilah, saya dan isteri sangat bersyukur kepada Allah atas anugerah ini. Semuanya berkat doa kami dan Sabella sendiri yang berusaha tanpa jemu dan pastinya ia berlaku dengan izin Allah," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon yang dikenali dengan jolokan 'Papa Megah Holdings' ini berkata, sebagai bapa dia sentiasa memberi dorongan kepada Sabella dalam pelajaran serta berjaya mengejar cita-citanya.

"Kejayaan yang paling besar adalah ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak menjadi insan berguna di dunia dan akhirat. Juga tidak lupa kepada pensyarah di UM yang banyak mengajar dan membantu Sabella dalam pelajaran," katanya.

Bagaimanapun, kata Mustapha, Susan yang banyak membantu dan mengawasi pendidikan anak-anaknya ketika dia sibuk dengan perniagaan dan di lokasi penggambaran.

"Sabella pernah menangis dan memberitahu 'mummynya' terutama ketika berdepan kesukaran untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Peluntkajaran Malaysia sebelum ini.

"Namun, usaha dan motivasi yang diberikan ibunya itu berjaya memujuk Sabella untuk meneruskan pelajarannya," katanya.

Sementara itu, Susan berkata, Sabella seorang anak yang sangat cerdik dan berdisiplin serta tidak mementingkan diri sendiri

"Sebagai anak sulung, dia seorang yang bertanggungjawab, rajin dan mempunyai hati yang sangat mulia," katanya.

Sabella pula berkata, dia ingin bekerja terlebih dulu sebelum menyambung pengajiannya pada masa depan.

Menurutnya, dia juga meminati bidang lakonan dan mahu mengikut jejak kedua ibu bapanya menjadi anak seni.

"Saya sudah terbabit dalam iklan komersil membabitkan pelbagai jenama sejak kecil. Terbaru, saya buat iklan satu produk bersama ibu bapa.

"Selain itu, saya juga pernah berlakon dalam beberapa drama termasuk filem tagalog Miss You Like Crazy bersama Bea Alonzo dan Datuk Hans Isaac sebelum ini.

"Jadi, jika ada tawaran iklan mahupun lakonan, saya sedia untuk berlakon," katanya.

Terdahulu, perkongsian Mustapha dan Susan mengenai kejayaan Sabella menggenggam ijazah kelas pertama di UM menerusi Instagram turut mencuri perhatian netizen di media sosial.

Susan juga sempat bergurau menerusi satu hantaran foto Sabella memakai jubah konvokesyen dengan mendakwa gadis berusia 24 tahun itu merupakan pewaris kepada syarikat Megah Holding.

"Tahniah Sabell, kami sayang kamu!. Ni baru anak sulung pewaris Megah Holding,"tulisnya

Selain Sabella, Mustapha dan Susan juga dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Aulia Qayyiem, Naqli Qaddiem dan Salsabil Qur'ani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 1:57 PM