Mierul bersama kedua ibu bapa pada majlis konvokesyen Unisel.
Mierul bersama kedua ibu bapa pada majlis konvokesyen Unisel.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Bintang muda yang menempa nama dalam drama bersiri Projek : High Council, Mierul Aiman bersyukur kerana selepas lima tahun akhirnya dia dapat menggenggam segulung ijazah diimpikan sekali gus 'hadiah' buat kedua ibu dan bapanya.

Pada Majlis Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) kali ke-17 yang berlangsung di Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor, semalam, Mierul berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian di bawah Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat.

Menurut Mierul atau nama sebenar, Mohammad Amirul Aiman Norazman, 25, kejayaan itu cukup bermakna kerana dapat membalas pengorbanan serta menunaikan janji kepada kedua ibu bapa untuk menamatkan pengajiannya itu.

"Alhamdulillah, selepas lima tahun termasuk kelas Asasi setahun pada 2016, saya berjaya menamatkan pengajian.

"Perasaan saya bercampur baur antara gembira dan sebak kerana banyak suka duka dilalui serta perjalanan yang panjang untuk saya menggenggam ijazah ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara pengajian dan karier seni, kata Mierul, dia tetap berpegang pada janji kepada kedua ibu bapa untuk menamatkan pengajian walaupun sudah menceburi bidang seni tanah air.

"Saya sangat meminati bidang seni dan menjadi seorang jurutera pula adalah kerjaya profesional yang sesuai dengan jiwa dan diri ini.

"Malah, sebelum masuk Hero Remaja 2021 pun, saya terpaksa 'extend' satu semester pengajian kerana mahu fokus pada pertandingan itu.

"Mujur kedua ibu bapa sangat memahami kerana mereka percaya, saya tidak akan hampakan impian untuk menggenggam ijazah ini kerana hanya berbaki satu semester sahaja lagi untuk tamat pengajian ketika itu," katanya.

Mengulas perancangan selepas ini pula, kata Mierul, buat masa ini, dia tidak merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana mahu fokus pada bidang seni diceburinya.

"Saya mahu meneruskan karier dan beri komitmen seratus peratus pada bidang seni serta merancang untuk mengembangkannya sejauh yang mungkin.

"Namun, saya hanya mampu merancang segalanya kerana Tuhan yang akan menentukan.

"Jika sampai satu masa nanti, saya perlu untuk menunaikan tanggung-jawab menjadi jurutera pula, saya akan lakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 12:46 PM