Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Agaknya fikiran dia serabut, sebab pada hari yang sama (Rabu lalu) adik ipar perempuannya meninggal dunia," kata penerbit dan pelakon Darling Ngasri mengulas kejadian abangnya, pelakon Bell Ngasri, 41 terkena jerat 'scammer' dan kerugian RM1,000.

Dalam kejadian beberapa hari lalu, Bell menjadi mangsa 'ditipu' oleh individu yang menyamar sebagai pelakon Mubarak Majid dan mahu meminjam wang disebabkan dalam kesempitan.

Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri berkata, Bell sibuk sepanjang hari berkenaan kerana menguruskan jenazah adik iparnya di Selayang.

"Keadaan dia (Bell) agak huru-hara dari pagi sampailah ke petang. Jadi, saya rasa ketika menerima kiriman mesej itu (dari penyamar) dia masih serabut dan berlakulah kejadian berkenaan.

"Pada malamnya, barulah dia tahu dah kena 'scam'. Saya pun tak dimaklumkan perkara ini dan hanya tahu menerusi Facebook seorang bekas wartawan hiburan pada keesokan harinya.

"Saya ada tanya Bell dan dia jawab selamba, apa nak buat benda dah jadi. Dia pun reda atas apa yang berlaku," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Darling mengakui abangnya sedikit kasar dan suka bergurau, namun hatinya lembut.

"Alhamdulillah dia sangat menghormati barisan pelakon senior. Semua pelakon 'otai: dia panggil pakcik. Kita pun memang selalu ingat artis-artis lama kerana membesar dalam kalangan mereka.

"Lagipun mereka banyak membantu jaga kita ketika di set dulu. Jadi, mungkin itu yang buat dia (Bell) tersentuh apabila pelakon berkenaan memaklumkan dirinya di dalam kesusahan dan perlu bantuan segera.

"Bell ini seorang yang ikhlas membantu dan lurus. Tapi, dia juga bijak dan pandai menyesuaikan diri dengan keadaan. Apapun secara peribadi dia seorang yang serius," katanya.

Darling berkata, abangnya sangat tegas sebagai ketua keluarga terutama dengan anak-anak, selain seorang yang berpandangan jauh serta selalu berfikir tentang masa depan.

"Dia pun kerap minta pendapat emak dan kadang-kadang saya. Walaupun nampak caranya begitu, dia seorang pemikir. Bell juga bagus dalam penulisan skrip dan pernah tulis skrip filem Amukan Puaka.

"Sebenarnya, banyak juga skrip yang Bell tulis termasuk untuk produksi saya. Malah, ilmu tulis skrip itu turut diajar kepada isterinya kerana dia tiada masa untuk membuatnya," kata Darling.

Ujar Darling lagi, Bell juga tidak pernah terlepas membayar zakat serta suka bersedekah untuk membantu mereka yang memerlukan. Menurutnya, sikap bersedekah itu sentiasa ditekankan sebgai satu kepentingan oleh emak mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 8:35 PM