BELL lakonkan watak Markonah Markisa.
BELL lakonkan watak Markonah Markisa.
Oleh Norhayati Nordin

Sebut saja keluarga Ngasri Sain, masyarakat sudah tahu yang semua anak-beranaknya memiliki bakat seni lakon tersendiri. Bahkan, hingga kini ada antara mereka masih aktif.

Salah seorang daripada anak-anak Ngasri yang begitu aktif dan dikenali ramai sudah pasti Bell Ngasri, 34. Bahkan, selain berlakon kini Bell juga mahir berlawak.

Bersua dengan Bell pada majlis pratonton filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan arahan Mamat Khalid, baru-baru ini, dia melakonkan watak Markonah Markisa, seorang bapa tunggal.

Bell atau nama sebenarnya Nasrizal@Ngasrizal Ngasri berkata, dia datang ke lokasi filem itu sehelai sepinggang dan tanpa skrip.

"Ketika di lokasi Abang Mamat hanya memberitahu saya watak dalam filem itu dan apa yang dia mahu saya lakonkan.

"Tak dinafikan, ia satu cabaran besar, tetapi saya berusaha melakukan yang terbaik. Bahkan, sebab itu juga saya banyak 'ad-lib' dialog termasuk menokok tambah jenaka dalam lakonan.

"Memandangkan tiada skrip, saya belasah saja selagi boleh dan Abang Mamat pasti akan menegur jika jenaka itu berlebihan," katanya.

Mengulas sama ada tindakannya itu mengundang kemarahan Mamat, tanpa berselindung Bell mengakui dia selalu kena marah.

"Tetapi, sedikit pun saya tidak simpan dalam hati apa yang Abang Mamat marahkan itu. Saya faham, kadang-kadang memang saya yang terlebih memberi.

"Apapun, saya sangat seronok sepanjang bekerja dengan Abang Mamat. Ditambah, barisan pelakon lain yang dipilih juga sangat hebat dan berbakat," katanya.

Berbicara mengenai gangguan pernah dialami sepanjang pembikinan filem komedi seram yang mengetengahkan elemen warisan saka itu, Bell berkata, meskipun lokasi penggambaran agak keras, namun dia terselamat.

"Alhamdulillah, kami barisan pelakon tiada seorang pun mengalami gangguan pelik di lokasi walaupun kebanyakan babak dilakukan pada waktu malam.

"Cuma, saya ada pengalaman kena marah oleh Abang Mamat pada jam tiga pagi kerana suka membuat lawak merapu yang berlebihan.

"Boleh dikatakan setiap hari jugalah saya kena marah kerana dia (Mamat) tidak boleh terima lawak yang saya buat. Apatah lagi, saya berlakon dalam filem dan bukan sitkom," katanya.

Menyerahkan segala penilaian kepada penonton, Bell yang sering mendapat peluang melakonkan watak komedi bagaimanapun tidak pernah melabelkan dirinya seorang pelawak.

Sebaliknya, Bell berkata, setiap kali menerima satu tawaran watak, dia akan berusaha melakukan sebaik mungkin dan cuba merealisasikan kehendak pengarah.

Mengakui sejak beberapa tahun kebelakangan ini sering menerima watak komedi, Bell berkata, hingga kini dia masih dalam proses belajar. Apatah lagi, katanya, bukan mudah untuk membuat orang ketawa.

Masih kekal berjuang bersama pasukan Shake di samping Amir dan Mie dalam persaingan Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014), Bell berkata, dia juga akan muncul dalam filem Cicakman 3 di pawagam tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:01 AM