Siti Nordiana
Siti Nordiana
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Semuanya sudah selesai. Saya pun tak ada apa nak cakap lagi. Saya sudah minta maaf dan memaafkan mereka," kata penyanyi, Siti Nordiana Alias, 39, atau Nana yang bersetuju menyelesaikan secara baik kes saman fitnah sebanyak RM2.5 juta yang difailkan terhadap lima individu termasuk dua rakan seperjuangannya yang juga penyanyi Lan Solo dan Syura Badron.

Nana berkata, buat masa ini fokus utama yang ingin diberikan adalah pentas akhir All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang bakal berlangsung Ahad ini.

"Sekarang ini saya mahu memberi sepenuh tumpuan kepada final ASGV. Pertandingan ini penting untuk masa depan saya. Doakan semoga semuanya berjalan lancar," katanya.

Terdahulu, Nana dan lima sekawan bersetuju untuk menyelesaikan kes saman fitnah secara baik mengikut terma serta syarat ditetapkan dan dibaca di hadapan Hakim John Lee Kien How @ Mohd Johan secara terbuka di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur, hari ini.

Kes yang berlanjutan selama dua tahun itu membabitkan saman difailkan Nana terhadap Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 38 dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi, Pegawai Perhubungan Awam syarikat rakaman, FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung dikendalikan Nur Sheila yang disertai empat defendan lain menyiar, mengeluar dan menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Nana mendakwa, fitnah itu membawa maksud antaranya dia bukan artis yang bersih dan dihormati, ego, tidak mendengar nasihat dalam segala perkara dan menggunakan wang serta populariti bagi memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Hanya Sandaran itu turut mendakwa kelima-lima defendan memadam siaran langsung daripada Instagram masing-masing, namun ia tular dan dimuat naik semula ke YouTube dan masih boleh ditonton orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 5:14 PM