Siti Nordiana
Siti Nordiana
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Peguam mewakili penyanyi Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin dari Tetuan Abang Azlan & Associates mengesahkan sudah menerima surat dan memorandum kehadiran daripada Tetuan Azlan Razak & Associates, peguamcara yang mewakili Mohd Razlan (Lan Solo), Nur Sheila (Sheila Razlan) dan Zuraidah (Syura) yang masing-masingnya adalah defendan pertama, kedua dan ketiga, kelmarin.

Abang Azlan berkata, firmanya juga sudah menerima surat serta memorandum kehadiran daripada Tetuan Nurul Hafidzah & Associates yang mewakili Sam Musyadzafar (Sam Samin) dan Razidah (Aida G) yang juga defendan keempat dan kelima, semalam.

Ia susulan saman yang difailkan penyanyi lagu Paling Comel itu ke atas lima sekawan terbabit atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial menerusi sesi siaran langsung di Instagram.

"Selanjutnya, kami sedang menunggu penyataan pembelaan defendan-defendan itu yang kami percaya akan difailkan oleh peguam mereka dalam masa terdekat ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Abang Azlan, firmanya serta anak guamnya Siti Nordiana atau mesra disapa Nana juga maklum mengenai kenyataan daripada pihak peguam mewakili Lan Solo, Sheila dan Syura yang berkemungkinan mahu menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.

"Firma dan anak guam saya maklum mengenai perkara ini berdasarkan laporan media," katanya.

Menerusi laporan sebuah portal, peguam mewakili Lan Solo, Sheila dan Syura iaitu Muhammad Hafiz Hood berkata, berkemungkinan kedua-dua pihak peguam akan berbincang untuk mediasi di luar mahkamah selepas proses memfailkan semua penyataan.

"Buat masa sekarang tiada perkembangan lain boleh dikongsikan. Apabila kami selesai failkan penyataan pembelaan itu, barulah kami boleh maklumkan apa intipati penyataan itu.

"Mungkin pihak kami dan peguam mewakili Nana akan berbincang mengenai kebarangkalian untuk mediasi di luar mahkamah selepas pihak Nana memberi jawapan kepada penyataan pembelaan," katanya.

Terdahulu, Nana memfailkan saman itu pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen, di sini, dan menamakan lima sekawan itu sebagai defendan.

Menerusi pernyataan tuntutan, Nana mendakwa pada 20 Julai lalu jam 11.58 malam, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain menerusi akaun Instagram masing-masing sudah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Nana turut mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Nana mendakwa kelima-lima defendan sudah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta sudah dimuat naik semula ke saluran YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.

Plantif mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik di YouTube dijangka bertambah dan reputasi beliau dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.

Nana juga mendakwa sebelum memulakan tindakan saman itu, dia melalui peguamnya menyerahkan notis tuntutan bertarikh 26 Julai lalu melalui serahan tangan dan emel kepada semua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh 24 jam selain ganti rugi sebanyak RM200,000 namun mereka gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, Nana menuntut semua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram dan Facebook secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.

Tidak terkecuali, Nana turut menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 9:19 PM