Ian Asher. Foto IG ianasher
Ian Asher. Foto IG ianasher
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Bakal melakar sejarah antara pesta muzik terkemuka penganjuran acara SUPALAPA Festival 2024 pastinya dinantikan peminat muzik tempatan dan antarabangsa.

Dimeriahkan dengan penampilan barisan artis tersohor disamping gabungan pelbagai genre muzik termasuk hip-hop, R&B, K-pop serta elektronik.

Berlangsung di Resort World Awana, Genting Highlands pada 2 hingga 3 Mac depan ia bakal menjanjikan hujung minggu padat dengan persembahan muzik bertenaga dan pengembaraan mengujakan.

Uniknya terdapat empat pentas disusun khas bagi acara ini iaitu Kinda Big Stage, Very Tall Stage, Pooltato Stage dan Tristan Da Cunha Stage.

Gelombang artis pertama SUPALAPA Festival menampilkan penyanyi hip-hop dinamik Armani White, pasangan DJ muzik trance ternama Cosmic Gate, juara carta Tones and I, serta sensasi TikTok Ian Asher dan Keemokazi.

Turut menyertai mereka adalah barisan bakat-bakat hebat seperti Rave Republic daripada DJ Mag's Top 100, Belle Sisoski, Jovynn, Coex, Forceparkbois, Hard Lights, Notep, NYK, Früde, Limguini dan Solarprint.

Pengarah SUPALAPA Festival, Addam Maleq berkata, acara ini berpotensi besar menerima sambutan sangat baik daripada orang ramai.

"Acara ini pasti menjadi semakin hebat dengan kemunculan barisan artis yang bakal disajikan.

"Ia turut dimeriahkan dengan pelbagai program menarik yang diatur sepanjang festival berlangsung," katanya.

Bagi Ketua Acara SUPALAPA Festival, Christopher Liu De pula, penganjuran acara ini mampu menjadikan muzik yang diimpikan penonton menjadi kenyataan.

Menurut Christopher, bukan sahaja muzik malah terdapat juga aktiviti kesenian termasuk tarian selain perlawanan gusti yang cukup dinanti-nantikan.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket Fasa 1 SUPALAPA Festival di laman sesawang rasmi mereka, manakala tiket Fasa 2 dan Fasa 3 masing-masing akan mula dijual pada 21 Disember ini dan 21 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 11:24 AM