Fiersa Besari
Fiersa Besari
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Konsert penyanyi, penulis lirik dan pempengaruh popular Indonesia, Fiersa Besari yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Ogos ini ditukar kepada 12 Oktober depan. 

Pengarah Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya berkata, meskipun sudah membuat pelbagai persediaan, mereka akur apabila tarikh Konsert Pertunjukan Tunggal Berjalan Mundur Fiersa Besari Live In Kuala Lumpur terpaksa ditunda kepada tarikh baharu.

"Keputusan ini agak berat untuk kami lakukan, malah dengan rendah diri kami memohon maaf atas segala kesukaran disebabkan perubahan tarikh konsert itu.

"Di sebalik apa yang berlaku, ia memberikan kami, termasuk Fiersa sendiri, lebih ruang untuk membuat persediaan supaya dapat tampil lebih maksimum pada konsert terbabit nanti.

"Tarikh baharu itu dipilih dengan begitu teliti, selain mengekalkan lokasi yang sama untuk memastikan penonton mendapat kepuasan sepenuhnya menerusi persembahan hebat Fiersa yang begitu ditunggu-tunggu peminat," katanya.

Menurut Intan, pihaknya selaku penganjur komited dalam memastikan semua pemegang tiket menikmati pengalaman terindah sepanjang Fiersa beraksi di Zepp Kuala Lumpur.

"Bagi pemegang tiket sedia ada, tiket mereka secara automatik akan dipindahkan ke tarikh baharu. Memahami kesulitan yang dialami, mereka akan diberi peluang bertemu Fiersa Besari dalam sesi eksklusif Meet & Greet nanti," katanya.

Pertunjukan Tunggal Berjalan Mundur Fiersa Besari Live In Kuala Lumpur

bakal membawa penonton meneroka perjalanan kerjaya seni jejaka kelahiran Bandung, Indonesia itu sepanjang 14 tahun berkarya.

Acara itu juga menjadi platform untuk mempromosikan karya Fiersa menerusi lima album yang dihasilkannya, termasuk album terbaharu, Berjalan Mundur yang menemui peminat pada November lalu.

Tiket konsert dijual bermula dari harga RM159 hingga RM3,403.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 4:20 PM