KUMPULAN Jinbara (dari kiri) Akin, Lan, Ahtan, Cepot dan Din. Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
KUMPULAN Jinbara (dari kiri) Akin, Lan, Ahtan, Cepot dan Din. Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Ridzuan Abdul Rahman


KUMPULAN Jinbara yang kini tampil dengan vokalis baru Muhammad Ar-Rashidin Tuah atau Din menafikan menyingkirkan Tia daripada kumpulan terbabit.

Ketua kumpulan yang juga pemain gitar kedua Jinbara, Cepot, 44, berkata Tia sebaliknya sudah mempunyai nama serta peluang sendiri dalam industri seni dan mereka tidak mempunyai masalah dengannya.

“Kali terakhir Tia bersama kami menerusi album berjudul Kolaborasi Mental terbitan Warner Music pada 2012.

“Pada 2014 lalu, kontrak kami dengan Warner Music berakhir dan apabila kontrak tamat, kami bebas untuk bergerak.

“Namun, kami tidak pernah mengumumkan dia keluar daripada Jinbara atau Jinbara keluarkan satu kenyataan yang Tia tidak lagi bersama kami,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mereka masih mengamalkan konsep berkawan dan apa yang dilakukan sekarang ialah merebut peluang yang ada.

“Dia ikut cara jalannya dan kami dengan jalan kami. Jinbara sudah membawa satu nama yang membina nama buat kedua-dua pihak.

“Sebelum ini pun, Tia sudah ada album solo dan kami pun tiada masalah. Dia pun sudah ada kecenderungan ke arah itu.

“Tia pun ada menghubungi saya menerusi aplikasi WhatsApp tapi saya tak balas kerana bagi saya tiada apa-apa benda yang nak dibincangkan lagi,” katanya.

Cepot berkata, dia beranggapan Jinbara mahupun Tia perlu merebut peluang yang ada sementara masih diminati.

“Kami bukan bekerja dengan kerajaan dan swasta yang ada wang simpanan dan lain-lain.

“Apabila orang nak, rebutlah peluang sebaik mungkin. Dia tengah buat peluangnya sendiri dengan merakam album solo dan pergi show sana sini dan kami dengan peluang kami,” katanya.

Selain Cepot, Jinbara turut dianggotai oleh Akin, 42, sebagai pemain bass dan Ahtan, 40, sebagai pemain drum.

Selain Din, 27, seorang lagi anggota baru ialah Lan, 32, beraksi sebagai pemain gitar.

Jinbara kini tampil dengan single terbaru berjudul Wayang.

Tia mula menyertai mereka menerusi album Patah Pusing pada 2007 yang mengandungi lagu popular Farhana (Puteri Bumi Kenyalang).

Album-album lain yang dihasilkan ialah Suara Kita (2008) Interpretasi Mental (2010) dan Kolaborasi Mental (2012).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 7:59 PM