Bekas pemain gitar SO7, Sakti
Bekas pemain gitar SO7, Sakti
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Selepas 17 tahun tinggalkan bidang hiburan, bekas pemain gitar Shiela on 7 (SO7) iaitu Sakti bakal tampil menjayakan Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi - Opick & Sakti Live In Kuala Lumpur, jam 8.30 malam, di Zepp KL, Sabtu ini.

Sakti atau nama sebenarnya Salman Al-Jugjawy, 43, berkata dia sudah membuat persiapan dan yakin tidak akan merasa canggung meskipun lama tidak beraksi di pentas.

"Tempoh hari, saya sudah ada tampil di pentas. Insya Allah sudah terlatih bersama rakan-rakan sewaktu di Jogja. Kalau niatnya bukan sekadar konsert tapi ada muatan dakwah, saya yakin akan ada bantuan Allah di situ.

"Yang diharapkan juga begitu, setiap orang Islam ada sumbangan meneruskan dakwah Rasulullah sebagai seniman. Nada-nada yang indah itu dipakai untuk kuatkan rohani kita, jadi kenapa tidak?

"Semoga saya dan Opick mampu persembahkan yang terbaik buat saudara-saudara Islam di Malaysia," katanya pada sesi temubual maya konsert itu, hari ini.

Sakti tidak pernah tampil penuh di konsert sejak meninggalkan SO7 pada 2006. Mei lalu, dia cuma tampil sebagai tetamu undangan sahabat-sahabat sejatinya pada sebuah persembahan di Jogjakarta.

Iman Tang mewakili penganjur iaitu Icon Entertainment akui susah sebenarnya dapatkan Sakti.

Pihaknya yakinkan dia bahawa keselesaannya paling utama untuk kembali membuat persembahan pentas.

"Ramai kalangan peminatnya tertanya-tanya dia di mana. Kami cakap kepadanya ia sebuah konsert di mana dia boleh berdakwah dalam muzik. Orang juga nak dengar kata-kata dakwahnya secara santai.

"Begitu juga lagu-lagu ciptaannya bersama SO7, dan lagu peribadinya. Agak susah tapi syukur dia terima tawaran dan bergabung di konsert itu Sabtu ini," katanya.

Konsert itu juga bakal diserikan dengan persembahan artis jemputan iaitu Amir Masdi, Fazura, Zizi Kirana, Adi Priyo, Yabang Khalifah dan UNIC.

Segmen buat Palestin juga akan didedikasikan menerusi persembahan mereka nanti.

Tidak ketinggalan, tabung sumbangan akan dibuka kepada penonton yang mahu menderma seikhlas hati di acara itu kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 4:48 PM