Persembahan Sakti dan Opick di Zepp KL.
Persembahan Sakti dan Opick di Zepp KL.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Sakti dan Opick yang tampil dalam Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi di Zepp, Kuala Lumpur semalam tidak ketinggalan turut menghulur sumbangan kepada tabung Palestin untuk membantu rakyat Gaza.

Dalam persembahan solonya, Sakti atau Salman Al-Jugjawy yang juga bekas pemain gitar Sheila On 7, tampil mengadakan acara lelongan gitar yang dimulakan dengan bidaan harga bermula RM3,000.

Menariknya, gitar terbabit milik Eross Candra iaitu pemain gitar Sheila On 7 dan turut mempunyai tanda tangan Eross, Sakti dan Opick.

Persaingan hebat daripada penonton yang berminat, menyaksikan jumlah bidaan meningkat sehingga mencecah jumlah RM10,000.

Bagaimanapun gitar ini akhirnya dibida oleh rakan kepada pengurus Fazura, Iman Tang yang hanya ingin dikenali sebagai Hamba Allah dengan harga RM11,000.

"Alhamdulillah... syukur. Ini bukan satu takdir harga bidaan RM11,000 sama seperti tarikh hari ini iaitu pada 11 November (semalam).

"Saya mendoakan khusnul khotimah buat orang yang baik hatinya ini apabila menderma kepada tabung Palestin," katanya.

Menerusi persembahannya, Sakti menyampaikan beberapa lagu antaranya Cahaya Terang, Bertasbih, Buatku Tersenyum dan Sephia yang ditukar liriknya kepada religi.

Sakti yang berasal dari Jogjakarta meninggalkan Sheila On 7 pada 2006 untuk mendalami agama.

Selepas berbelas tahun bersara dari dunia muzik, dia buat pertama kali muncul menerusi konsert terbabit yang mengumpul hampir 2,000 penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 6:22 PM