DIDIE Alias. FOTO Hazreen Mohamad
DIDIE Alias. FOTO Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelakon, Didie Alias, 51, terpaksa menolak banyak tawaran berlakon kerana bayarannya tidak setimpal dengan pengalamannya hampir 40 tahun dalam industri hiburan tanah air.

Didie berkata, dia kecewa dengan bayaran tidak setimpal yang ditawarkan syarikat produksi kepada pelakon senior sejak kebelakangan ini.

"Ia semakin teruk kerana 'menghina' artis senior seperti kami dengan bayaran yang terlalu rendah dan tidak setimpal dengan pengalaman dimiliki," katanya.

Didie berkata, bayaran sebanyak RM20,000 untuk drama bersiri 60 episod yang menjalani penggambaran selama enam bulan adalah tak berbaloi.

Dia juga menolak bayaran RM1,000 untuk satu episod yang turut disifatkan sebagai tidak setimpal.

"Saya juga datang dengan pakej lengkap dan watak yang ditawarkan pada saya juga bukan yang biasa-biasa. Banyak yang perlu dilakukan untuk menjiwai watak itu," katanya.

Didie berkata, ramai rakan artis seangkatannya yang dihina dengan bayaran rendah.

"Saya tetap dengan prinsip akan menolak jika bayaran yang ditawarkan tidak setimpal kerana saya bukan saja berlakon tetapi terbabit sebagai pengacara dan penganjur karnival jualan.

"Namun, saya kasihan dengan ramai rakan artis seperjuangan yang bergantung pada lakonan dan sudah empat hingga lima bulan tiada tawaran berlakon," katanya.

Didie berkata, mereka bukanlah 'demand' dengan meletakkan harga yang tinggi kepada penerbit.

"Kami bukannya letak harga RM10,000 untuk satu episod, tetapi bayarlah artis senior sesuai dengan pengalaman mereka.

"Golongan artis senior ini semuanya bersandarkan bakat dan nak masuk dalam bidang seni dulu pun susah bukannya seperti sekarang.

"Pada masa sama, ramai pula artis yang masih muda berlakon watak emak dan datuk semuanya kerana bayaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 2:17 PM